TERKINI :

Thursday, December 24, 2015

Nik Amar baru tahu bahaya AMANAH kepada Pas



DARI HATI

Kenapa tiba-tiba sahaja Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar) berharap supaya parti Amanah menunaikan janji mereka agar tidak mengacau Pas di Kelantan dengan meletakkan calon dalam pilihan raya umum akan datang?

Apakah TMB itu sudah mulai menyedari kedatangan Amanah itu memberi kesan menakutkan kepada Pas? Atau pun dia sudah merasai bahan panas di bawah sana dimana ada ahli dan penyokong Pas tidak senang dengan aksi yang ditunjukkan pemimpin Pas yang berbaik-baik dengan pemimpin Umno?

Bahawa penentangan rancangan kerjasama itu semakin meluas dan kehadiran presiden Pas dalam majlis Multaqa Perpaduan anjuran Alumni Al Azhar itu sebagai menjolok mata?

Nik Amar juga dilaporkan berharap Amanah menunaikan janjinya sebelum ini untuk membantu Pas di Kelantan. Beliau mengungkit kenyataan berupa janji dikeluarkan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menegaskan Amanah ditubuhkan bukan bertujuan menganggu Pas, sebaliknya untuk membantu perkuat dan mempertahankan kerajaan Kelantan, dalam masa sama memberi peringatan kepada Pas supaya tidak mudah termakan dengan janji-janji manis Umno. Itulah hasrat Wan Rahim.
Wan Abdul Rahim, pengerusi Amanah Kelantan.
Sekiranya sejak awal lagi Nik Amar atau orang-orang sepertinya menyedari kenapa Amanah ditubuhkan dia tidak perlu takut kepada Amanah itu. Tetapi kerana cetek ilmu politik dan gagal membaca siasah Amanah maka berlakulah kebimbangan itu. Apakah Nik Amar sudah dapat membayangkan kalau Amanah "ganggu" Pas, menyebabkan kerajaan peninggalan Nik Aziz itu akan hancur?

Sebenarnya bagi mereka mengenali siapa dia Wan Rahim serta tahu akan jasa dan budinya kepada Pas sejak berpuluh tahun lalu tidak perlu takut kepada beliau apa lagi tidak tergamak untuk memburuk veteran politik ini. Apa lagi beranggapan kerja-kerja politiknya di Kelantan adalah bagi memusnahkan Pas.

Tetapi disebabkan mereka tidak kenal, apa lagi mengetahui kronologi perjuangannya, pengorbanannya dengan Pas sampai sanggup dan rela dicampak ke hulu Kelantan, dengan mudah menganggap peranan Wan Rahim menerusi Amanah itu untuk khianati Pas.

Rasanya kalau dihimpun kesemua bekas-bekas ketua pemuda Pas Kelantan sejak dari tahun 1990 hingga kini dan seluruh bekas ahli jawatankuasanya, mereka tidak mampu mengatasi jasa dan pengorbanan Wan Rahim kepada Pas. Jasa Wan Rahim kepada Pas kalau boleh disebut lebih tinggi daripada Bukit Marak kalau pun tidak setinggi gunung Stong.

Justeru secara peribadi sebagai orang mengenali Wan Rahim sejak lama, saya sedih apabila beliau ditohmah sebagai jahat dan melakukan pengkhianatan kepada Pas. Tuduhan itu melulu dan dibuat dengan sentimen yang cetek politik dan bodoh. Seperti mana dijelaskan, mengenai kewujudan Amanah, ialah kerana, antara faktornya sebagai protes kepada Pas yang mengambil pendekatan politik baharu dengan Umno. Sebagai ahli politik Wan Rahim tahu apa yang akan terjadi dan implikasi kepada Pas.

Perlu disebut, secara peribadi saya kurang bersetuju dengan kewujudan Amanah di Kelantan kerana ia bakal menyulitkan Pas. Kelantan dan Terengganu tidak perlu kepada Amanah, cukup hanya ada Pas dengan Umno sahaja. Tetapi kerana Pas begitu angkuh dan sombong dalam melayani Wan Rahim dan rakan-rakan lain, maka sesuatu yang tidak perlu itu akhirnya wujud juga. Di sini kesilapan dan kelemahan Pas dalam mambaca peta politik.

Beberapa kali saya sebutkan, masalah dihadapi Wan Rahim bukan soal dia ingin jadi pemimpin, tetapi apa yang dirinduinya ialah untuk berkerja dan berkhidmat, kerana perjuangan (politik) adalah darah dagingnya. Orang mengenali Wan Rahim akan tahu bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan ini tidak boleh diam tanpa melakukan kerja untuk parti. Wan Rahim akan demam kalau tidak bekerja kepada parti.

Sekiranya pemimpin Pas Kelantan mendengar apa yang saya katakan dan cadangkan itu, pasti Amanah seperti ada hari ini tidak akan tumbuh di Kelantan dan kemungkinan Wan Rahim masih kekal dalam Pas dan kebimbangan yang dialami Nik Amal itu, hilang kerajaan juga tidak akan berbangkit.

Nah, apabila Nik Amar seakan meralatkan sikap dan pendiriannya, berasa bimbang dengan Amanah, meminta Amanah tidak ganggu Pas, menunjukkan apa yang disuluh Wan Rahim sebelum ini benar. Pas tidak patut berbalah dengan Amanah semata-mata hendak berbaik dengan Umno.

Kalau Nik Amar memahami politik serta mengenali siapa Wan Rahim dan Amanah, dia tidak perlu bimbang. Beliau tidak payah menungkit janji yang dilapazkan oleh Wan Rahim itu. Perkara paling bijak ialah Nik Amar atau Pas mengadakan pendekatan lunak dengan Amanah. Pas tidak perlu bermusuh atau menganggap Amanah sebagai musuh dan menghina parti baharu itu.

Tetapi apa yang berlaku tampaknya terbalik apabila Pas seolah lebih gembira menerima Umno sebagai rakan, sebaliknya menganggap Amanah sebagai musuh. Satu sikap yang songsang.

Keterbalikan sikap dan pendekatan inilah juga menjadi masalah kepada Pas apabila ada ahli-ahli yang serit dan perit dengan Umno tidak dapat menerima pelan cadangan berbaik-baik dan kerjasama dengan parti itu.

Kalau hendak dikira dan dianalisa dari segi DNA, darah Amanah lebih mesra dengan Pas bebanding dengan Umno maupun Keadilan. Tidak payah pergi jauh, lihat sahaja dari segi konsep dan prinsip perjuangan. Amanah mendokong Islam begitu juga dengan Pas. Umno berorentasikan kepada bangsa dan nasionalis yang kontra dengan Pas. Manakala Keadilan sebuah parti tidak ada teras bersifat liberalisme.

Jadi kalau bijak dalam politik, Nik Amar dan Pas tidak perlu bimbang dan rungsing dengan kehadiran Amanah. Dan saya percaya dan yakin Wan Rahim sebagai bekas orang Pas, yang jatuh bangun dan telah merasa susah senang dengan Pas, tidak akan tergamak untuk mengkhianati Pas. Mengkhianati Pas samalah dengan dia menyatkiti dirinya sendiri; mengetus pokok yang ditanam dan bangunan yang dibangunkan. Jika ditanya Wan Rahim dia lebih 100 kali sedia berlawan dengan Umno berbanding Pas.

Apa yang terbaik kini bagi mengelakan apa dibimbangi Nik Amar itu daripada berlaku, ialah Pas Kelantan mengatur semula persefahaman dengan Amanah. Pas perlu berbaik sangka dengan Amanah. Amanah jangan dianggap sebagai musuh sebaliknya pemangkin kepada kekuatan Pas di Kelantan. Pas perlu membersih otak ahli-ahli bawahannya yang mentah itu.

Sesungguhnya juga fungsi dan kedudukan Amanah di Kelantan bagi Pas,  ia lebih baik daripada Keadilan. Kerana yang paling nyata pengaruh dan sokongan kepada Amanah lebih besar dan meluaas berbanding Keadilan. Kalau Pas boleh berlunak dengan Keadilan kenapa tidak dengan Amanah?

Saya tidak mahu menyebut macam mana mekanisme hubungan Pas dengan Amanah ini hendak dijalankan. Ia terserah kepada kebijaksanaan pemimpin Pas dan pemimpin kedua pihak. Mungkin satu pendekatan boleh diambil, apabila Pas merasakan bahawa janji manis Umno untuk membantu Pas tidak terlaksana, maka lebih baik Pas berbaik dengan Amanah. Setelah Nik Amar membatalkan gencatan senjata dengan Umno elok Pas buat gencatan senjata pula dengan Amanah.

Pas sendiri dapat merasai sejauh mana Umno ikhlas terhadapnya. Dan sekiranya Pas tidak sedia untuk membahagi kerusi dengan Umno kerana mahu terus menguasai kerajaan Pas secara total, Pas boleh bekerjasama dengan Amanah. Mungkin apa yang ditawarkan oleh Wan Rahim, Amanah diberi peluang bertanding di kerusi parlimen sementara Pas di semua kerusi DUN boleh difikirkan. Ia satu tawaran yang praktikal.

Sekali lagi saya percaya Amanah tidak sampai hati dan tergamak akan menganggu Pas untuk terus menerajui Kelantan. Kerana bagi Amanah hasrat yang tersemen dalam diri mereka tidak mahu Umno mengambil alih Kelantan, apa lagi menjadi pengganti kepada Pas. Itulah hakikatnya. Dan jika hakikat ini difahami seharusnya tidak ada "berselehengan" antara Pas dengan Amanah di Kelantan. [wm.kl.3:29 pm 24/12/15]
 
Mohd Sayuti Omar

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...