TERKINI :

Monday, December 7, 2015

NFC: Apa berlaku kepada pinjaman RM250 juta?

Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID

https://lh3.ggpht.com/Wx1t-MdXUfinfnqRnvevCa31pnS-cFe9rr-b_iI_9VbG3mA3elFLsPNMdVNpZaSia6Ezr1_x7REJ7_lp5A
Pada 24 November 2015, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail telah dibebaskan daripada empat pendakwaan pecah amanah yang melibatkan RM49.7 juta. Ketika kesalahan ini didakwa dilakukan, beliau adalah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

Hakim Mahkamah Sesyen telah membebas Dr Salleh, tidak berdasarkan bukti yang direkod semasa pembicaraan penuh dijalankan akan tetapi atas alasan Peguam Negara telah menarikbalik pendakwaan ke atas beliau.

Peguam Negara telah memutuskan hal tersebut setelah mengkaji surat oleh pasukan peguambela beliau. Namun isi kandungan surat tersebut tidak pula didedahkan.

Dr Salleh telah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 12 Mac 2012 dan perbicaraan dimulakan pada 23 Jun 2014 bila pihak pendakwa memanggil saksi pertama. Peguam bela telah memohon supaya pendakwaan dibatalkan, namun Hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan tersebut. Keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan perbicaraan tersebut diteruskan. Bila perbicaraan diteruskan, Peguam Negara telah dengan tiba-tiba menarik balik pendakwaan dan menyebabkan beliau dibebaskan.

Kes ini mendapat perhatian yang amat tinggi dalam kalangan awam bila perbicaraan telah diberi publisiti yang meluas oleh media kerana pendakwaan itu melibatkan tuduhan menyalahguna dana awam. Peguam Negara tidak akan mendakwa seseorang kecuali terdapat bukti yang cukup untuk mendakwa dan berpeluang tinggi kes dakwaan itu akan menang dalam perbicaraan. Oleh sebab itu, Peguam Negara perlu mendedahkan alasan kenapa pendakwaan ditarik balik berdasarkan hujah dan representasi dari peguambela Dr Salleh. Peguam Negara ada kuasa dan pertimbangan sendiri untuk menarik balik pendakwaan pada mana-mana tahap perbicaraan akan tetapi perlu dilakukan berdasarkan bukti dan kepentingan awam.

Pendakwaan terhadap Dr Salleh timbul bila ada tuduhan salah guna dana pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bernilai RM250 juta dengan kadar faedah 2.5% yang diberi kepada NFCorp untuk membangunkan industri bekalan daging lembu kepada pasaran lokal dan antarabangsa. Dr Salleh merupakan pengerusi kepada Lembaga Pengarah NFCorp yang juga melibatkan anak-anak beliau. Beliau adalah suami kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam laporan tahunannya untuk tahun 2012 mencatat bahawa skandal RM250 juta yang berlaku melibatkan National Feedlot Corporation itu adalah akibat dari kegagalan Kementerian Pertanian menjalankan kajian kelayakan terhadap syarikat tersebut sebelum kontrak itu diluluskan. Syarikat itu tidak memiliki kelayakan teknikal atau latarbelakang kewangan yang kukuh. Wakil pihak kerajaan yang ditugaskan berada dalam Lembaga Pengarah syarikat tersebut juga gagal berperanan sebagaimana sepatutnya. Projek tersebut juga tidak dibawa kepada pengetahuan Jemaah Kabinet atau Kementerian Kewangan.

Walaupun Dr Salleh dibebaskan, masyarakat awam perlu mendapat maklumat mengenai status perjanjian antara kerajaan dengan NFCorp untuk membangun industri daging lembu tersebut. Apakah yang telah berlaku kepada pinjaman RM250 juta dan kadar faedah yang dikenakan itu? Adakah wang tersebut diperolehi kembali? Jika tidak, apakah tindakan yang telah diambil terhadap NFCorp dan pengarah-penjamin untuk mendapatkan semula wang rakyat yang sangat besar itu?

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...