TERKINI :

Saturday, December 12, 2015

Najib Dan Abdul Hadi Bakal Bertemu Minggu Depan 'Rintis Silaturahim'

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka bertemu minggu depan, yang dilihat sebagai perkembangan positif selepas Presiden UMNO itu menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi ketika ditemu bual BernamaTV malam ini berkata kedua-dua pemimpin itu dijadual bertemu dalam satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar.

Dr Puad berkata Najib dijadualkan merasmikan majlis itu, manakala Abdul Hadi akan menyampaikan ucap utama.

"Apa yang penting di peringkat awal ini adalah untuk kita melihat bagaimana kedua-dua parti boleh bekerjasama dalam perkara yang sepatutnya terutamanya dalam hal dakwah, menentang ajaran sesat, ajaran liberalisme dan sebagainya," katanya di sini.

Puad turut berpendapat pertemuan dua pemimpin itu sebagai perkembangan positif kepada pelawaan presiden UMNO itu, namun masih terlalu awal untuk memperkatakan berhubung penggabungan kedua-dua parti itu.

Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 semalam berkata UMNO menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam selepas parti itu 'disepak dan diterajang keluar' oleh rakan-rakan pembangkangnya.

Puad berkata para perwakilan yang membahaskan ucapan presiden itu juga dilihat menyokong pelawaan itu dan berpendapat PAS tidak lagi boleh diihat sebagai musuh politik UMNO.

Keterbukaan PAS, menerusi kenyataan Abdul Hadi sebelum ini, juga menunjukkan parti itu seperti bersedia untuk menjalin hubungan bersama UMNO, katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...