TERKINI :

Tuesday, December 15, 2015

Muhyiddin ‘terpaksa’ bersuara selagi ada jawatan

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘terpaksa’ bersuara selagi masih memegang jawatan meskipun kenyataannya akan dilihat bertentangan dengan pendirian parti itu‎.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Muhyiddin hanya bersuara demi kepentingan rakyat dan ia tidak memungkinkan sebarang tindakan disiplin boleh diambil ke atasnya.

“Itu hak beliau untuk bersuara. Kalau tiada jawatan, lainlah cerita. Apa perkara yang dia tidak setuju, dia kena bersuara. Kalau dia bersetuju pun dia akan bersuara. Suara beliau ada autoriti di situ.

“Beliau tidak boleh dikenakan tindakan kerana beliau bersuara atas kepentingan rakyat. Bukan atas dasar menjatuhkan presiden. Sebenarnya, Umno pun tidak ada cara nak sabitkan kesalahan kepada beliau kerana beliau bukannya menyalahi apa-apa disiplin dalam parti,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, susulan ulasan dibuat Muhyiddin terhadap Ucapan Dasar Presiden di laman Facebooknya, ramai rakan-rakannya dalam parti melahirkan kekecewaan atas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Azizuddin akui, kenyataan bertentangan dengan pendirian pemerintah hari ini bakal menjadi dilema yang perlu diselesaikan Najib.

“Paling sesuai untuk Muhyiddin jawab dan menyatakan pandangan semasa perhimpunan agung tapi memandangkan beliau tidak diberi peluang terpaksalah guna medium yang lain sama ada media massa atau media sosial.

“Tapi ini akan dilihat bertentangan dengan parti dan kerajaanlah. Ini sebenarnya dilema yang perlu diselesai segera oleh Datuk Seri Najib. Jika tidak ia akan memberi imej yang tidak baik,” katanya.

Beliau juga menjangkakan Muhyiddin bakal terus bersuara sehingga pilihan raya atau pemilihan Umno akan datang.

Dalam ulasan ringkasnya, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan amanah yang dipikulnya dalam parti serta sentiasa membantu presiden termasuk menyelesaikan pelbagai permasalahan parti.

Najib dalam ucapan dasarnya mengingatkan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli parti itu tentang tanggungjawab mereka berdasarkan Perlembagaan parti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...