TERKINI :

Tuesday, December 29, 2015

Menteri tidak boleh saman individu bawa isu kepentingan awam, kata pengarah NOW

Pengarah NOW Akmal Nasir dalam hujah pembelaannya berkata, tindakan Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyaman atas kapasiti sebagai ahli Parlimen dan menteri tidak boleh dilakukan kerana tiada kedudukan undang-undang untuk mengambil tindakan itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Disember, 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membawa kes saman fitnah berhubung dakwaan salah guna wang rakyat kerana perkara itu merupakan isu kepentingan awam, kata Pengarah Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir dalam hujah pembelaannya.

Beliau berkata, Jamil yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri memfailkan saman kerana terkesan sebagai tokoh masyarakat yang melaksanakan tugas dan kewajipan kepada rakyat Malaysia.

"Oleh itu, kelakuan, perangai dan perbuatan yang dilaksanakan oleh plaintif (Jamil Khir) adalah perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam yang melampau dan faedah mesti tertakluk kepada perbincangan awam dan juga terbuka kepada kritikan dan penelitian yang mantap," kata Akmal dalam satu dokumen diberikan kepada The Malaysian Insider.

Jamil dalam writ samannya, juga menyatakan dirinya sebagai ahli Parlimen Jerai dan ketua Umno bahagian tercemar reputasi akibat pendedahan Akmal.

Defendan berkata, Jamir merupakan ahli politik Barisan Nasional perlu mendukung ketelusan awam, kejujuran dan integriti di semua peringkat dalam kerajaan.

Katanya, kerajaan yang sama mempromosikan keperluan bagi tadbir urus korporat yang baik dalam syarikat.

"Oleh kerana plaintif menyaman atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen dan menteri, beliau dihalang daripada menyaman kerana tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengambil tindakan ini," kata Akmal.

Akmal juga memberi notis kepada Jamil tentang kemungkinan beliau memfailkan satu lagi permohonan membatalkan saman menteri itu.

Beliau juga bergantung kepada pembelaan membuat komen yang adil, justifikasi dan perlindungan bersyarat untuk menolak saman itu.

Pada 19 November Jamil memfailkan writ saman terhadap Akmal menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Tindakan saman bertujuan membersihkan nama Jamil dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.

Jamil mendakwa Akmal menerbitkan kata-kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dahulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.

Menteri itu turut mendakwa Akmal berbuat demikian bagi menjatuhkan maruahnya dan menanam kebencian rakyat bagi meraih sokongan politik kepada PKR. – 29 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jamil-khir-tidak-boleh-saman-individu-bawa-isu-kepentingan-awam#sthash.pSsu5mdM.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...