TERKINI :

Tuesday, December 29, 2015

Majlis Raja-Raja Melayu benteng terakhir sekat MKN

 Faiz-Fadzil_raja-raja_nsc_600
PETALING JAYA: Majlis Raja-Raja Melayu menjadi harapan terakhir bagi menghalang kegilaan peralihan kuasa diktator melalui akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember 2015.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Faiz Fadzil berkata, kuasa asal mengisytiharkan darurat terletak di bawah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, namun kini ia sudah dirampas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Hanya Majlis Raja-Raja Melayu yang merupakan kuasa tertinggi sistem pemerintahan negara berkeupayaan menghalang kegilaan peralihan suatu kuasa diktator di negara ini.

“Rakyat selama ini berpayungkan kepada kebijaksanaan dan keadilan YDPA dan Raja-Raja Melayu amat berharap agar YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu dapat bersidang dan bertitah menolak undang-undang MKN ini dan seterusnya ditarik balik oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Faiz juga mendakwa UMNO kini bukan lagi pembela kepada institusi Diraja dan jika MKN dilaksanakan beliau bimbang akan meruntuhkan amalan demokrasi negara.

“UMNO bukan lagi pembela kepada institusi Diraja. Undang-undang MKN jika dilaksanakan dibimbangi akan meruntuhkan amalan demokrasi yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

“Pilihanraya boleh ditangguhkan sepanjang ia dilaksanakan. Kemarahan rakyat yang dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang untuk menukar kerajaan melalui cara yang demokratik boleh dinafikan,” ujarnya.

Justeru, Faiz memohon agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat membela nasib dan hak rakyat dan seterusnya mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan negara yang tercinta ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...