TERKINI :

Saturday, December 5, 2015

Majlis Fatwa Pulau Pinang pula haramkan vape


GEORGETOWN - Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan penggunaan rokok elektronik ataupun vape adalah haram melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri yang diadakan kelmarin.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia berikutan penggunaan alatan itu membawa kepada pelbagai kesan negatif kepada pengguna termasuk masyarakat sekeliling.

“Jadi kami ingin nasihatkan kepada orang ramai khasnya pemilik vape di negeri ini supaya tidak lagi menghisap alatan elektronik tersebut dan menghormati keputusan yang telah dibuat majlis fatwa negeri.

“Sekurang-kurangnya hormatilah orang lain dan patuh dengan hukum agama ALLAH SWT ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wan Salim berkata, keputusan pengharaman tersebut sudah difatwakan, namun masih belum diwartakan.

“Hukum haramnya vape ini sama seperti rokok yang telah diketahui umat Islam secara umumnya,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menggesa supaya kerajaan pusat akur dengan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok elektronik secara keseluruhannya.

Tegasnya, ia berikutan penggunaan vape itu telah diputuskan sebagai haram melalui mesyuarat yang diadakan pada Ogos lalu.

Tegasnya, keputusan itu dibuat mengikut hukum syarak dan ia juga berdasarkan kepada kaedah-kaedah fiqh yang tertentu.

“Kerajaan Malaysia patut mengikuti jejak langkah beberapa negara tertentu yang telah pun mengharamkan penggunaan vape seperti Singapura, Brunei, Hong Kong dan Britain.

“Tidak menjadi kepentingan buat kerajaan untuk mengikut kehendak peniaga yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihaknya akan meneliti tindakan selanjutnya selepas vape diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Pulau Pinang.

“Kita tidak nafikan yang sememangnya sudah lama melihat isu ini, dan selepas ia difatwakan haram, maka kami akan menelitinya dengan lebih mendalam.

“Namun begitu, untuk makluman orang ramai, kerajaan negeri sebelum ini sudah pun mula mengambil langkah penguatkuasaan dengan melarang penghisap rokok atau vape menggunakannya di kawasan tertentu di sekitar Pulau Pinang.

“Ia sekali gus menunjukkan pihak kami memandang berat isu vape mahupun rokok ini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...