TERKINI :

Wednesday, December 16, 2015

Mahasiswa bukan 'jurujilat' kerajaan


Saya ingin berikan komentar terhadap ucapan wakil mahasiswa, saudara Farhan Khairuddin dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

Saya 100 peratus setuju bahawa mahasiswa menilai politik dari sudut intelektualisme.

Tetapi saya 100 peratus tidak bersetuju dengan kenyataan saudara bahawa "Segala kesenangan hidup di Malaysia ini adalah disebabkan hasil perjuangan Umno".

Kenyataan ini jelas sekali bertentangan dengan konsep ilmu dan intelektual. Nampaknya saudara gagal memahami konsep intelektual.

Saya setuju bahawa Aspirasi adalah penyokong BN. Segala polisi kerajaan mereka sokong tanpa culas.

Namun, saya nasihatkan agar mahasiswa Umno ini untuk lebih progresif selain menjadi 'jurujilat' kerajaan, kalian harus berani mengkritik dan mengutarakan cadangan kepada kerajaan berteraskan keyakinan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Usah jadikan Umno-ultra Melayu sebagai prinsip, sebaliknya jadikanlah kebenaran, keadilan dan persaudaraan sebagai prinsip.

Saya 100 peratus dukacita dengan gesaan saudara Farhan supaya pensyarah disiasat daripada mengeluarkan kenyataan dan komentar yang bertentangan dengan polisi kerajaan.

Gesaan ini bertentangan dengan konsep intelektual dan kebebasan akademik.

Perbahasan ilmiah berkenaan polisi dan dasar sesebuah kerajaan ini seharusnya dimekarkan di kampus selagi mana ia dibahaskan dari sudut intelektual.

Masakan mungkin pensyarah ekonomi yang tidak bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) itu dicop sebagai memanipulasi dasar kerajaan.

Mana mungkin pensyarah undang-undang yang tidak bersetuju dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dikatakan prejudis terhadap dasar kerajaan.

Pendidikan itu objektifnya adalah untuk mencari kebenaran, bukannya membenarkan segala tindakan Umno.

Nasihat saya, jangan anggap polisi kerajaan itu sebagai kitab yang turun dari langit yang bersifat syumul lantas haram untuk dikritik dan dibahas.

Setahu saya, saudara Farhan adalah pelajar undang-undang, saya yakin saudara maklum berkenaan konsep semak dan imbang.

Konsep yang seharusnya diamalkan dalam sistem demokrasi, bukannya konsep sokong dan jilat.

Ahli akademik dan mahasiswa (termasuk mahasiswa UMNO) punyai peranan untuk menjadi ejen semak dan imbang.

Jika saudara bangga akan kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus yang lepas, saya juga mahu berbangga kerana Pro-Aspirasi sudah gagal untuk wujud di kampus saya iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Walaupun UIAM ini punyai keris terbesar, namun kami tidak langsung dan tidak akan pernah berhasrat untuk menjadikan kampus kami ini “UIAMNO”.

Akhir kalam, belum terlambat untuk saya ucapkan kepada saudara atas pelantikan sebagai yang dipertua Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). Saya sedikit bangga kerana YDP MPPK diberi peluang untuk menyampaikan ucapan dalam PAU.

Namun, saya berdukacita kerana ucapan saudara Farhan sediki tpun tidak menggambarkan bahawa saudara ini membawa suara dan rintihan mahasiswa dek kerana kenaikan kos sara hidup dan kenaikan kos pengangkutan awam.

Malah, tidak terpancar langsung dalam ucapan saudara akan budaya intelektual yang merupakan budaya anak muda dan mahasiswa.

Apa yang jelas semasa ucapan, saudara adalah mahasiswa Umno yang yang memegang prinsip segala kesenangan yang ada di Malaysia ini hasil jasa Umno.

Semoga saudara berjaya membawa obor perubahan dalam Umno, usah digalas obor Ahmad Maslan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...