TERKINI :

Monday, December 14, 2015

Kutipan GST lebihi sasaran, raih lebih RM30b

MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion setakat hari ini sejak pelaksanaannya pada April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, ia merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar dengan sistem tersebut.

Beliau berkata nilai kutipan itu melebihi angka yang disasarkan, bagaimanapun enggan mengatakan sasaran berkenaan, dan menjangkakan ia bertambah pada tahun depan.

"Setakat ini kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan)," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru di sini hari ini.

Seramai 250 orang penguasa kastam menerima sijil masing-masing selepas menjalani latihan selama lapan minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee dipilih sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata JKDM telah mengisi lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

"Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara mengikut cabang dan kekosongan," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...