TERKINI :

Sunday, December 6, 2015

Kuasa MKN : Najib lupa bila dia kalah PRU

SEREMBAN – Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dibentang di Dewan Rakyat, baru-baru ini, ibarat memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib akan mengambil kuasa yang sepatutnya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Dulu kita sebut ini 'emergency', cuma Agong saja boleh tapi sekarang Agong punya kuasa sudah 'transfer' kepada dirinya (Najib).

“Dia (Najib) ambil kuasa itu, dia boleh isytihar darurat, kononnya 'security and risk'. Siapa yang bertindak merosak dan sabotaj negara boleh kena tangkap.

"Bukan saja parti lawan atau Anwar Ibrahim, orang lain juga dia boleh tangkap. Tapi dia lupa satu perkara, kalau kita kalah PRU14 ini, yang jadi kerajaan ialah parti lawan dan mereka akan tangkap YB semua.

“Kita bagi kuasa kepada kerajaan tapi sampai bila kerajaan nak buat apa sahaja. Bagaimana nasib kita nanti,” katanya ketika Program Wacana Anak Muda Negeri Sembilan di dewan sebuah hotel di Senawang, di sini, semalam.

Menurutnya, ramai pemimpin Umno yang tahu kesalahan Najib tetapi masih mahu sokong perdana menteri itu.

“Mereka tahu kesalahan Najib tapi masih sokong Najib, guna kuasa mereka sokong Najib. Mereka tahu benda ini salah dan jenayah tapi sokong Najib, sembunyi fakta dan bukti.

“Bila Najib bagi arahan salah bertentangan dengan undang-undang dia ikut, hari ini Najib memerintah tak jadi apa, tapi esok bila parti lawan memerintah, dia orang ini masuk jel pasal buat salah.

“Orang yang sokong Najib hari ini jangan lupa, bila Najib kalah PRU nanti, dia terima padahnya. Inilah keadaan yang berlaku dalam negara kita sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, dia akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno untuk melihat apa yang berlaku pada perhimpunan itu.

“Saya tak boleh bercakap tapi saya datang untuk lihat apa yang berlaku. Ada jemputan datang selepas saya buat kenyataan, saya anggap jemputan oleh Datuk Seri Zahid adalah jemputan rasmi dan saya akan pergi,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...