TERKINI :

Thursday, December 24, 2015

Kuala Nerang - ada rakyat makan nasi berlauk air garam, Exco & MB tau dak pasai nie..??

Makan nasi berlauk air garam

KUALA NERANG - Nasi berlaukkan air garam sudah sebati dengan keluarga dari Kampung Rambutan, di sini, sejak enam tahun lalu.

Nenek yang menyara lima cucu ini, Siti Bedah Mat Ali, 62, berkata, kekangan hidup menyebabkan dia dan suami, Mohamad Mat Husin, 72, terpaksa menyediakan juadah berkenaan setiap kali terputus bekalan makanan.

Menurutnya, dia dan suami sudah enam tahun menjaga lima cucu mereka selepas anaknya bercerai.

"Saya dan suami perlu cari duit nak sara mereka. Tahun ini hanya empat orang yang bersekolah, tahun depan semua cucu akan bersekolah, bertambahlah perbelanjaan sekolah," katanya.

Siti Bedah berkata, dia buntu memikirkan nasib cucunya memandangkan musim persekolahan bakal tiba dan segala kelengkapan persekolahan belum lagi dibeli.

"Dulu suami ambil upah panjat pokok kelapa, sekarang dah tak boleh kerja kuat-kuat sebab ada penyakit.

"Kami kini hanya bergantung kepada sumbangan zakat dari orang ramai bagi membiayai perbelanjaan harian serta persekolahan cucu," katanya.

Dalam pada itu, dia pernah terlintas mahu memberhentikan persekolahan cucunya memandangkan tidak lagi mampu menyara perbelanjaan sekolah mereka.

"Saya pernah terdetik untuk berhentikan mereka, tapi memikirkan keputusan cemerlang diperoleh tiap kali peperiksaan, saya batalkan niat ini.

"Kami usaha juga cari duit sara mereka," katanya.

Warga emas ini merayu mana-mana pihak dapat membantu menyediakan kelengkapan persekolahan cucu-cucunya supaya dapat meneruskan pembelajaran mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rambutan, Zahari Che Omar berkata, pihaknya sudah pun menemui keluarga itu dan sedang berusaha mendapat bantuan kepada mereka.

Terkini, pihaknya sudah pun memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permohonan keluarga itu dalam proses kelulusan oleh pihak berkenaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...