TERKINI :

Tuesday, December 15, 2015

Kos sara hidup: KJ cakap tak serupa bikin


PETALING JAYA - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar didakwa 'cakap tak serupa bikin' apabila hanya menyuarakan keluh kesah rakyat tentang kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang tindakan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selaku menteri dalam Kabinet, Khairy seharusnya mencari jalan untuk mengubah dasar pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau berada dalam Kabinet, dia tak boleh mengasingkan dirinya daripada keputusan yang dibuat oleh Kabinet.

"Kecuali dia meletak jawatan, mengundur diri, maknanya dia serius apa yang dikatakan terhadap kenaikan kos sara hidup," katanya kepada pemberita, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno itu pada Perhimpunan Agung Umno 2015, minggu lalu yang menyuarakan keluh kesah rakyat tentang kenaikan kos sara hidup sejak akhir ini.

Ucapan Khairy itu dilihat bertentangan dengan beberapa dasar kerajaan Najib, antaranya kenaikan kadar tambang pengangkutan awam, tol, GST, kejatuhan nilai ringgit dan minyak dunia.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi juga berkata, kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu sudah banyak kali diulang namun beliau tidak nampak keseriusan untuk memperjuangkan suara rakyat itu.

"Kena ada tindakan, jadi kalau dia betul-betul serius, bukan setakat bersuara begitu, tetapi benar-benar mencari jalan bagaimana dapat mengubah apa yang dilaksanakan oleh pentadbiran Najib," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...