TERKINI :

Wednesday, December 2, 2015

Konsesi lebuh raya buat rakyat rugi lagi

tol

SHAH ALAM - Tiga sebab pengguna jalan raya dijangka menjadi 'biggest loser' dalam perjanjian baru antara kerajaan dan pengendali Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, tiga sebab itu adalah rakyat rugi dalam perjanjian baru ini, perjanjian baru konsesi tol akan ditambah 20 tahun lagi dan kerajaan rugi dalam perjanjian ini.

"Sebab pertama daripada jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin semalam, penstrukturan perjanjian kerajaan dengan Plus pada tahun 2011, langsung tidak menguntungkan rakyat. Mengikut jawapan timbalan menteri, kerajaan menurunkan kadar kenaikan tol dari 10% setiap tiga tahun kepada kenaikan tol 5% setiap tiga tahun.

"Perjanjian ini tidak bijak, kerana kadar tol tetap akan dibenarkan naik. Ini juga tidak menetapi manifesto BN yang menjanjikan penurunan tol antara bandar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, sebab kedua, sepatutnya perjanjian tol Plus akan tamat tahun 2018.

"Rakyat telah menanti-nantikan penamatan tol lebuh raya utara selatan selama ini. Rakyat mengharapkan kerajaan membuat perjanjian baru yang menguntungkan rakyat, tetapi, akhirnya, ia tetap menguntungkan syarikat konsesi yang boleh mengutip tol selama 20 tahun lagi. Rakyat tetap rugi.

"Dan sebab ketiga, sudah jelas bahawa kerajaan berhasrat meningkat tol lebuhraya Utara Selatan tahun 2016. Tetapi kerajaan masih menyediakan RM593.3 juta ringgit dalam Bajet 2016 untuk pampasan tol.

"Peruntukan ini hanya akan bertahan beberapa bulan sahaja untuk melambatkan kenaikan tol. Maka, selepas duit tersebut habis, maka kadar tol tetap akan dibenarkan naik," katanya.

Dalam pada itu, Tze Tzin berkata peruntukkan pampasan tol diperolehi dari potongan peruntukan lain, terutamanya potongan bajet butiran 060700 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan dan butiran 060800 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

"Kedua-dua butiran ini dipotong RM529 juta berbanding bajet 2014. Ini bermaksud, demi membayar pampasan tol, penyelenggaraan jalan persekutuan dan butiran lain dipotong," katanya.

Katanya, lagi kerajaan pernah mengatakan perjanjian konsesi tol generasi ke-tiga lebih menguntungkan rakyat. Mereka kata ia berbeza dengan perjanjian terdahulu yang menguntungkan syarikat konsesi.

"Maka, PKR mendesak kerajaan mengumumkan perjanjian konsesi baru 2011 kepada rakyat umum. Kerajaan harus membuktikan bahawa perjanjian baru Tol Plus ini lebih menguntungkan rakyat.

"PKR juga mendesak kerajaan berlaku adil kepada 506 juta pengguna tol lebuhraya utara selatan setiap tahun. Berdasarkan sebab-sebab di atas, boleh disimpulkan pengguna jalan raya adalah 'the biggest loser' dan 'the only winner' adalah syarikat konsesi yang mendapat duit dari semua pihak," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...