TERKINI :

Thursday, December 10, 2015

KJ - Takkan bawa suara rakyat pun dianggap derhaka?

Khairy

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mengkritik tindakan sesetengah pihak yang menuduh sayap parti itu bertindak populis, hendak menangguk di air yang keruh serta melawan 'tauke' ketika membawa suara dan rintihan rakyat.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata,apa yang Pemuda Umno lakukan bukan populis tetapi untuk membuatkan Umno kembali popular dalam kalangan rakyat.

"Kadang kala membawa suara rakyat menuntut Pemuda membuat pendirian yang kurang disenangi sesetengah pihak. Ada kalanya ia menyebabkan kita menentang arus.

"Takkanlah usaha Pemuda menjadi utusan dan membawa fikiran dan suara rakyat pun dianggap menderhaka? Kalau begitu baik dijahit sahaja mulut kami," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda Umno, hari ini.

Menurutnya, pendirian Pemuda tidak pernah populis dan mereka yang menuduh Pemuda sebagai populis ternyata tidak faham erti populis.

"Kalau Pemuda populis, kita sudah menabur kata-kata manis, menjanjikan bulan, bintang dan matahari sedangkan kita tahu ianya mustahil ditunai.

"Kalau hendak jadi populis, paling mudah Pemuda bantah sahaja cukai barang dan perkhidmatan (GST), bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bantah segala usaha menstrukturkan subsidi. Mudah tetapi tidak bertanggungjawab.Namun Pemuda tidak buat begitu.

Sebaliknya,katanya, Pemuda menganjurkan forum untuk jelaskan semua isu-isu tersebut.

Beliau berkata, Pemuda Umno juga menyertai debat dan berdepan dengan mahasiswa untuk menjawab segala persoalan dan rasa tidak puas hati.

"Kita tahu isu-isu seperti GST, penstrukturan subsidi, dan lain-lain perlu dibuat demi masa depan negara supaya cukup pendapatan kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan.

"Namun bila timbul isu yang menjadi buah mulut sebahagian besar rakyat kita, apakah Pemuda harus hanya pekakkan telinga dan membisu sahaja? Bila ada tuduhan berat seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, takkan kita diam tidak minta penjelasan?," soalnya.

Kata Khairy, apabila Pemuda menyatakan pendirian, bukan niat untuk menuduh tetapi untuk memperjelaskan keadaan dan menjernihkan semula imej kerajaan dan parti di mata rakyat.

"Ingat, rakyat yang menentukan masa depan politik kita. Kalau respon yang diberikan adalah jawapan yang tidak masuk akal, bagaimana penerimaan rakyat nanti? Kalau respon kita hanya mengejar dan menghukum pemberi maklumat tanpa menyiasat tuduhan yang serius, apa pula pandangan rakyat? Kalau respon kita seolah-olah mengganggu siasatan, apa yang rakyat akan rumuskan akhirnya?

Pemuda hanya mahu parti keramat kita kekal keramat, kekal memimpin. Untuk itu, parti kita perlu menang pilihan raya. Untuk menang pilihan raya, pemimpin kita mesti dihormati dan disegani oleh orang ramai. Sebab itulah kita bangkitkan isu-isu penting yang sudah lama bersarang di benak fikiran rakyat terutamanya orang muda," katanya.

Katanya lagi, bukan susah untuk diterima dan menjadi popular di kalangan rakyat.

"Kalau ada tuduhan, jawab dengan cepat dan menyeluruh. Buktikan kita telus dan mengamalkan tadbir urus yang baik. Tunjukkan pada semua tidak ada apa yang hendak kita sembunyikan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...