TERKINI :

Friday, December 18, 2015

Ketua Dewan Ulama Pas - Mahu agenda perpaduan diperhalusi

Mahu agenda perpaduan diperhalusi
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed membentangkan kertas kerja bertajuk "Perpaduan Ummah dan Kepentingan Dari Perspektif Ulama" pada Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mahfodz Mohamed hari ini melahirkan harapan agar 'tali perpaduan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pas dapat dilaksanakan selari dengan syiar Islam.

Namun, beliau berkata perkara itu harus diperhalusi dengan perbincangan yang berterusan antara kedua-dua pihak supaya ikatan itu dapat dijayakan demi kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kalau nak tunjukkan Perdana Menteri ada kesungguhan, mesti ada tindakan susulan ini...maknanya kalau betul ikhlas, tunjukkan pelaksanaan ucapannya.

"Pas belum buat apa-apa keputusan, cuma tok guru (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dah nyatakan dari segi prinsipnya itu, kita kena dekatkan lagi hubungan berasaskan kepada 'Tali ALLAH'," katanya ketika ditemui pemberita selepas mendengar ucapan perasmian Najib di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di sini hari ini.

Terdahulu, Najib sewaktu berucap merasmikan seminar tiga hari itu, mengingatkan para hadirin mengenai larangan Islam untuk umatnya daripada berpecah-belah tetapi perlu mengutamakan perpaduan dalam kalangan umatnya.

Pada Persidangan Agung Umno lepas, Najib, yang juga presiden parti itu, telah menghulurkan 'tali silaturrahim' kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, telah tiba masanya Umno dan Pas bersatu dalam terus menperjuangkan perkara yang berkepentingan kepada agama, bangsa dan negara.

"Umat Islam kini semakin longgar. Ini masanya untuk kita duduk semeja berbincang ketepikan perbalahan, buang perkara yang tidak menguntungkan rakyat," katanya.

Katanya perkara itu tidak mustahil dicapai kerana kedua-dua parti itu mempunyai banyak agenda perjuangan yang sama.

"Cuma kita harapkan rakyat Malaysia banyak-banyak berdoa. Kita jangan harapkan yang luar biasa, tetapi sekarang ini kita lihat cahaya di hujung lorong nampaknya semakin terang," katanya.

Tegasnya perbezaan politik tidak seharusnya jadi penghalang dengan meletakkan kepentingan agama dan bangsa sebagai keutamaan.

Veteran Umno, Tan Sri Dr Mohd Ali Rustam berkata, Islam kebelakangan ini sering menjadi bahan sendaan secara terbuka, akibat daripada sikap berpecah-belah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Mungkin semua dah sedar, jika kita berpecah kerana ideologi (politik), sedangkan agama menyeru kepada perpaduan, ramai yang ambil kesempatan, dan Islam nampak diperlekehkan, dan beberapa tahun kebelakangan ini sehingga nak azan pun tak kasi, kemudian Nabi dipersendakan, al-Quran dipijak.

"Jadi di sini timbulnya kesedaran baharu, apa akan jadi sekiranya kita tak pegang pada tali ALLAH sebagai saudara dalam Islam, maka orang akan hina," kata bekas ketua menteri Melaka itu.

Selain itu, beliau berkata sekiranya inisiatif perpaduan ini tidak disambut, akibat yang mungkin timbul akan jadi lebih buruk, seperti apa yang berlaku di negara Timur Tengah di mana umat Islam berperang sesama sendiri. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...