TERKINI :

Tuesday, December 15, 2015

Kerjasama PAS Kelantan, kerajaan persekutuan sudah lama terjalin, kata MB

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama antara kerajaan PAS Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), sudah lama wujud. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Disember, 2015.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama antara kerajaan PAS Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), sudah lama wujud.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-duanya dapat dilihat terutama dalam aspek pengurusan perkhidmatan kerajaan misalnya bagi membincangkan isu tertentu mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

"Contohnya, setiap menteri besar mesti hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tanah Negara untuk berbincang mengenai isu tanah serta perkara yang ada kaitan antara negeri dan pusat.

"Ini menunjukkan kerjasama antara negeri dan persekutuan memang berlaku," katanya sebagai mengulas mengenai kerjasama antara PAS dan Umno.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Anggota Perkhidmatan Awam Kelantan Tahun 2014, menyampaikan Sijil Tasawwur Islam Siri II dan Sambutan Hari Intergriti Peringkat Kelantan di Kota Baru, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Ditanya mengenai kerjasama politik antara kedua-dua parti, Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata ia terserah kepada pimpinan tertinggi parti itu untuk menentukan hala tuju PAS selepas ini.

"Saya tak nak komen (mengenai kerjasama politik). Biar pemimpin tertinggi saja yang bercakap sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini," katanya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata Umno hanya 'bermimpi' jika ingin menjalinkan hubungan dengan PAS selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN dan perdana menteri pada Khamis lepas menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam. – Bernama, 15 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerjasama-pas-kelantan-kerajaan-persekutuan-sudah-lama-terjalin-kata-mb#sthash.L01Q31SU.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...