TERKINI :

Friday, December 25, 2015

Kenyataan Idris halau individu yang nak gabung dengan umno buat ahli runsing

SHAH ALAM - Kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang menyeru individu dalam Pas yang mahu bergabung dengan Umno supaya meninggalkan parti, telah merunsingkan ahli Pas.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ramai ahli berpandangan kenyataan Idris seperti mengiakan wujud usaha pihak-pihak tertentu dalam Pas untuk bergabung, bekerjasama atau bertahaluf siyasi dengan Umno-BN.

“Masakan tiada angin pohon bergoyang. Sudah tentu individu tersebut bertaraf pimpinan tertinggi Pas dan bukannya ahli biasa.

“Kalau ahli biasa Pas, mereka percaya Ustaz Idris tidak perlu buat kenyataan untuk meminta individu tersebut meninggalkan Pas kerana usaha dilakukan ahli biasa Pas tidak akan memberi kesan untuk menjadikannya keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, individu dalam parti itu yang teringin untuk bergabung dengan Umno perlu meninggalkan Pas.

Beliau turut menyenaraikan beberapa tokoh Pas sebelum ini yang pernah meninggalkan Pas untuk bersama Umno seperti Ahmad Fuad Hassan, Tan Sri Asri Muda dan Nakhaei Ahmad.

Menurut Mahfuz, kenyataan Idris juga seolah-olah menunjukkan terdapat dua pihak dalam kepimpinan Pas.

“Satu pihak yang hendak bergabung, bekerjasama atau bertahaluf dengan Umno-BN, manakala satu pihak lagi menentang.

“Saya tidak pasti siapa dalam kalangan mereka. Tetapi kenyataan Ustaz Idris menjadi bahan perbualan dan perbahasan dalam kalangan ahli biasa Pas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ahli Pas turut berasa hairan dengan kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ahli Pas yang menentang kerjasama Pas-Umno perlu akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.

“Mereka (ahli Pas) menyatakan bagaimana Ahmad Zahid boleh keluar arahan dan boleh tahu keputusan Majlis Syura. Adakah Majlis Syura sudah buat keputusan? Ini yang membingungkan ahli-ahli.

“Saya percaya kerisauan ahli Pas dalam isu ini ada asasnya dan bukan soal bersetuju atau menentang kerjasama. Tetapi mereka mahukan kepastian,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...