TERKINI :

Friday, December 18, 2015

Kedah tawar kenaikan pangkat buat Marcote Pequeno

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menawarkan 'kenaikan pangkat' kepada jurulatih kecergasan, Ramon Marcote Pequeno untuk terus bersama pasukan itu musim depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat KFA, Aminuddin Omar yang menjelaskan tawaran kontrak selama setahun sebagai penolong jurulatih diberikan kepada Pequeno selepas melihat kemampuannya sepanjang memikul tugas selaku jurulatih sementara Helang Merah.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, Pequeno masih belum memberi kata putus mengenai tawaran itu dan kini sedang bercuti di negara kelahirannya, Sepanyol.

"KFA menawarkan jawatan penolong jurulatih kepada Pequeno berbanding sebelum ini dia bertugas sebagai jurulatih kecergasan.

"Ketika ini dia sedang bercuti dan kami masih menunggu jawapan daripada Pequeno sama ada mahu menerima tawaran itu atau sebaliknya.

"Mengenai Tan Cheng Hoe pula, dia kekal sebagai ketua jurulatih dengan kontraknya masih berbaki setahun bersama Kedah," katanya.

Pequeno diberi tanggungjawab mengendali sementara skuad Helang Merah berikutan ketiadaan Cheng Hoe yang menjalani kursus lanjutan kejurulatihan pro di China pertengahan bulan lalu.

Pequeno membuktikan kemampuannya selepas berjaya membawa Helang Merah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan mengenepikan cabaran PKNS FC dan FELDA United FC di peringkat suku dan separuh akhir.

Sementara itu, Pequeno menyuarakan kesediaannya untuk kembali ke Malaysia musim depan sekiranya menerima tawaran daripada mana-mana pasukan termasuk skuad Helang Merah.

"Sekarang saya sedang bercuti dan saya akan pertimbang mana-mana tawaran untuk aksi musim depan sama ada dari Malaysia atau mana-mana kelab lain," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...