TERKINI :

Tuesday, December 22, 2015

K'jaan belanja RM400k untuk kos lawatan Ng Yen Yen

Lawatan sehari bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen ke Singapura pada bulan Jun tahun ini membabitkan kos RM12,978.50 manakala kos bagi satu lagi lawatan yang sama pada bulan Februari ialah RM9,263.

Dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi Tourism Malaysia, Ng telah mengadakan 14 lawatan rasmi yang membabitkan kos berjumlah RM396,465.37.

Ini didedahkan dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kepada Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke, yang ingin tahu senarai lawatan rasmi Ng dan kosnya dari 17 Jun 2013 hingga 16 Jun tahun ini.

Menurut jawapan bertulis Nazri semasa sidang Parlimen baru-baru ini, Ng ke Singapura pada bulan Jun untuk menyampaikan taklimat kepada peserta industri di MyFest2015.

Bagaimanapun, kunjungan sehari pada bulan Februari hanya disenaraikan sebagai 'lawatan kerja'.

Kos lain termasuk RM67,266 yang dibelanjakan untuk lawatan lima hari ke Durban dan Johannesburg di Afrika Selatan, di mana Ng menghadiri pameran pasaran pelancongan dunia Afrika.

Pada bulan Mac, lawatan selama seminggu ke Bali dan Jakarta, Indonesia, membabitkan kos RM34,813.

Loke pertama kalinya membangkitkan isu lawatan Ng atas perbelanjaan wang rakyat dalam satu perbahasan di Parlimen pada tahun 2013.

Nazri, dalam jawapannya ketika itu, berkata Ng dipilih menjadi pengerusi Toursim Malaysia atas keupayaannya bertutur dalam Mandarin kerana Malaysia ingin menarik lebih ramai pelancong dari China.

Loke menyangkal, dengan mengatakan bahawa lawatan rasmi pertama Ng adalah ke Mumbai, India, dan bukan ke China, di mana Nazri dilaporkan secara berseloroh berkata beliau akan meminta Ng memberi lebih tumpuan kepada negara China.

Bagaimanapun, dalam jawapan terbarunya kepada Loke, Nazri berkata lawatan rasmi pertama Ng yang disenaraikan ialah ke Guangzhou, Zhangjiajie, Xian, Beijing dan Huangzhou di China, yang membabitkan kos sejumlah RM27,380.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, Ng juga telah mengadakan empat lagi lawatan rasmi ke pelbagai daerah di China, katanya.

Juga tidak disebut sebarang lawatan rasmi ke Mumbai.

Ng telah digantikan sebagai pengerusi Tourism Malaysia oleh bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada 17 Jun tahun ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...