TERKINI :

Thursday, December 17, 2015

Jika Najib ‘gentleman’, silalah letak jawatan – Tun M

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hanya akan menjadi seorang ‘gentleman’ sekiranya beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengakuan Najib bahawa dirinya bersikap ‘gentleman’ dan berjiwa besar sangat tidak boleh dipercayai.

Ini kerana, katanya, sikap Najib lebih mirip sikap bos yang mengikat tangan musuh supaya boleh dibelasah tanpa dibalas.

“Inikah sikap gentleman yang berjiwa besar? Ia lebih mirip sikap bos yang mengikat tangan musuh supaya ia boleh dibelasah tanpa dibalas. Dahulu mencabar Presiden adalah perkara biasa dan pencabar bebas bercakap di mana sahaja. Tetapi sekarang tidak,” katanya menerusi entri terbarunya chedet.cc.

Menurut Dr Mahathir, dakwaan yang dibuat oleh Najib bahawa beliau akan ‘bermati-matian memimpin perjuangan yang mulia bagi membela orang Melayu dan Bumiputera’ juga tidak dapat diterma.

“Kerana Najib menghapuskan Dasar Ekonomi Baru dan ia menekan kontraktor Melayu sehingga terpaksa gulung tikar. Biasiswa bagi penuntut Melayu dikurangkan.

“Semua ini lebih mengecewakan orang Melayu, ahli UMNO sehingga mereka bersorak apabila Najib diminta letak jawatan,” katanya yang menegaskan ucapan yang dibuat oleh Najib semasa Persidangan Agong UMNO amat mengecewakan.

Beliau berkata, terdapat pihak yang tidak memahami isu yang dihadapi oleh UMNO dan berpendapat ia hanya merupakan masalah perhubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden dan sekiranya bersalam-salaman akan menyelesaikan masalah terbabit.

“Ini bukan masalah perhubungan atau persahabatan. Ini adalah isu salahlaku Presiden yang boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihanraya,” jelasnya.

Tambahnya, Najib juga tidak menjelaskan tuduhan ke atasnya berkenaan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan masalah syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir mendakwa, Najib juga memilih untuk menghalang siasatan terhadap kehilangan berbilion ringgit duit kerajaan dan menggunakan alasan sub-judice untuk menjawab isu berkenaan.

“Najib berkata bahawa siasatan sedang dijalan dan ia menjadi sub-judice dan tidak boleh dibincang, tidak akan diterima sebagai benar oleh rakyat.

“Ia bukan sedang dibicara dalam mahkamah dan berbincang berkenaannya tidak menjadi sub-judice,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...