TERKINI :

Wednesday, December 30, 2015

Isu kesesakan jeti Kuala Kedah akan diatasi

ALOR SETAR - Kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan sama ada mahu membina jeti di kawasan baharu atau memperluaskan Jeti Kuala Kedah sedia ada untuk ke Langkawi, kata Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM80 juta telahpun disalurkan kerajaan pusat untuk pembangunan Jeti Langkawi, namun tumpuan utama sekarang adalah menambah baik keperluan dan kemudahan di Jeti Kuala Kedah bagi keselesaan pelancong.

Kerajaan negeri katanya sedar keadaan Jeti Kuala Kedah yang sesak, selain tiket feri tidak mencukupi setiap kali musim cuti persekolahan sehingga ada yang terpaksa tidur di jeti.

Kelmarin, ribuan pelancong terkandas di Jeti Kuala Kedah dan Langkawi berikutan tiket perjalanan antara kedua-dua destinasi itu kehabisan ekoran pertambahan pelancong ke pulau bebas cukai tersebut.

"Prasarana sudah ada, cuma kita perlu perbaiki apa yang perlu dan akan menambah dan menyusun semula perkhidmatan feri demi keselesaan pelancong kerana kita tidak mahu pelancong pulang dalam keadaan tidak gembira," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Rakan Discovery Kedah 2016' di sini hari ini.    

Rakan Discovery Kedah 2016 dilancarkan Tourism Kedah dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Kedah bagi membantu mempromosikan negeri itu sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...