TERKINI :

Friday, December 25, 2015

Iskandar: Pimpinan tiada hak maafkan Umno

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad sekali lagi membangkitkan persoalan tentang kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan Umno sebelum ini.

Persoalan itu timbul ekoran cakap-cakap yang mengatakan parti Islam itu akan menjalin kerjasama dengan Umno.

Iskandar berkata, kesalahan yang pernah dilakukan Umno sebelum ini tidak boleh dimaafkan oleh mana-mana pimpinan.

Katanya, kesalahan tersebut hanya boleh dimaafkan oleh pihak yang didakwanya pernah ditindas oleh parti pemerintah itu.

"Siapa yang boleh memaafkan kesalahan Umno? Sudah tentu bukan keputusan mana-mana pimpinan. Tetapi mangsa-mangsa kezaliman dan penindasan Umno itu sendiri.

"Mungkin juga keluarga-keluarga mereka jika mereka tiada lagi di dunia ini. Siapakah mereka? Ramai sekali," kata Iskandar dalam satu kenyataan.

ADUN Chempaka itu turut menyebut beberapa mangsa yang didakwa ditindas oleh Umno antaranya bekas tahanan ISA, mangsa peristiwa Memali, seluruh rakyat Kelantan dan Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum serta penjawat awam yang dipindahkan kerana menyokong pembangkang.

"Senarainya terlalu panjang untuk dinyatakan di sini. Tanya mereka terlebih dahulu sebelum mahu memaafkan kesalahan-kesalahan Umno," kata Iskandar tanpa menyebut nama mana-mana pihak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno memandangkan ia sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka.

Malah, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula berkata, PAS wajar membuka lembaran baru bersama Umno bagi mewujudkan kerjasama berkaitan perkara ketakwaan dan kebaikan serta tidak perlu mengungkit segala dosa dan kesalahan lampau yang dilakukan Umno.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...