TERKINI :

Friday, December 18, 2015

Hulur tangan tidak bermakna perlu talian hayat

ALOR SETAR - Umno menghulurkan tangan kerjasama kepada Pas bukan bermakna parti pemerintah itu sedang lemah dan memerlukan talian hayat menjelang PRU14.

Setiausaha Umno Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, ia bukan sekadar tindakan parti politik tetapi secara keseluruhannya melibatkan soal Melayu dan Islam.

“Kita sedar kemelut yang dihadapi dan kelemahan yang sedang dilalui. Tapi apabila Umno hulur tangan untuk bersama (Pas), sebelah pihak pula kata Umno merasa sudah lemah dan minta talian hayat.

“Ini tidak betul. Kita bimbang jika perkara seumpama ini berterusan, kita mungkin akan berputih mata seperti kata pepatah ‘buang tangga, berayun kaki’,” katanya selepas menyampaikan sijil tauliah wakil Pengerusi Wilayah II dan IV, biasiswa kecil dan anugerah pelajar cemerlang Mada 2014/2015 di Ibu Pejabat Mada, Ampang Jajar, hari ini.

Menurutnya, semua pihak seharusnya mengetepikan ego masing-masing sebaliknya mengamalkan hati mulia dan berjiwa besar untuk duduk bersama melihat isu sebenar.

“Umno tidak lemah, Umno hebat. Tapi walaupun kita tidak lemah, kita tahu cabaran yang mendatang.

“Atas semangat ukhuwah Islamiah itulah kita panggil mereka (Pas). Tetapi jangan kata kita panggil mereka sebab kita lemah,” katanya.

Beliau berkata, tangan yang dihulurkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada parti Islam itu juga bukan bermakna mereka sebuah parti politik yang kuat.

“Mereka (Pas) pun tidak kuat. Tapi janganlah kerana pihak ini lemah, itu pun lemah. Akhirnya akan berpecah juga.

“Tapi kita tidak pandang itu semua. Kita pandang soal perjuangan ummah. Janganlah bila Najib buat jemputan untuk ajar bersembang, dikatakan kita lemah,” katanya.

Menurutnya, individu yang menyifatkan Umno semakin lemah seolah-olah tidak mempunyai jiwa besar dan bukan seorang pejuang.

“Kalaupun ada pergeseran dan salah faham, duduklah dulu berbincang. Kalau Pas kata DAP lebih baik untuk berkawan, pergilah berkawan dengan mereka.

“Tapi apa nak jadi, takkanlah mereka tidak tahu permainan DAP kepada Pas. Takkanlah mereka tidak tahu perpecahan Pas hari ini kerana DAP,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun bagaimanapun tidak mahu menyentuh lanjut isu yang melanda Pas dan DAP selain meminta pihak berkenaan menarik semula kenyataan bahawa Umno menghulurkan tangan kepada Pas kerana memerlukan talian hayat.

“Kita harap perkara yang berlalu dijadikan sebagai pedoman,” katanya.

Semalam, Pas Kedah menyifatkan tindakan Umno yang menghulurkan tangan untuk berbaik dengan parti Islam itu umpama meminta nyawa pada masanya sedang  menghadapi sakarul maut.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, perhimpunan agung Umno minggu lalu turut menyerlahkan masalah besar yang sedang melanda parti berkenaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...