TERKINI :

Thursday, December 24, 2015

Hubungan Azmin-Dr Mahathir bukan halangan, PKR masih utamakan bebas Anwar

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini bercakap tentang hubungan istimewa beliau dengan Tun Dr Mahathir yang tidak disenangi partinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Disember, 2015.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengejutkan anggota partinya baru-baru ini apabila beliau menyebut mengenai satu hubungan istimewa antaranya dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Penyokong tegar PKR tidak senang dengan Dr Mahathir, yang mereka persalahkan sebagai punca jatuhnya dari Umno ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemenjaraannya dari 1998 hingga 2004.

Oleh itu, beberapa mereka terkejut apabila menteri besar Selangor itu bercakap tentang hubungan istimewa beliau dengan Dr Mahathir dalam ucapannya semasa perkahwinan anak perempuan sulungnya terdahulu bulan ini.

Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir sebagai tetamu jemputan bersama-sama dengan Sultan Selangor dan Perak.

"Saya dan Tun (Dr Mahathir) mempunyai hubungan yang sangat istimewa.

"Semasa saya kahwin dahulu, Tun datang. Sekarang ketika anak saya kahwin, Tun juga datang.

"Pendek kata, hubungan kami sangat erat umpama air dicincang tidak akan putus," kata Azmin pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), 13 Disember lalu.

Dalam ucapannya, Azmin tidak langsung menyebut nama Anwar, dan ini nampaknya menimbulkan kemarahan mereka yang tahu betapa rapatnya kedua-dua mereka selama ini.

Azmin adalah salah seorang daripada pembantu yang paling dipercayai Anwar sepanjang kerjaya politiknya selama 16 tahun dalam Umno, dan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk PKR.

Jadi, bagi mereka, ucapan Azmin mengenai hubungan beliau dengan Dr Mahathir dilihat sebagai satu tamparan kepada Anwar, yang pernah menjadi mentornya tetapi kini sedang melalui satu lagi tempoh hukuman penjara di Sungai Buloh akibat sabitan kes Liwat II, yang didakwa PKR dan penyokongnya adalah satu konspirasi politik.

Antara yang berterusan menyerang Azmin adalah Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard, bekas pemimpin PKR yang pernah digantung keahliannya tetapi kini kembali menjadi anggota parti sepenuh masa.

Bagaimanapun, ada di kalangan pemerhati yang mempertahankan Azmin, mengatakan misinya hanya satu sekarang, iaitu membebaskan Anwar dari penjara.

"Saya yakin segala tindakan Azmin sekarang mendapat 'blessing' (restu) dari Anwar," kata Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, naib pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), badan penyelidik yang ditubuhkan kerajaan negeri pimpinan Azmin.

"Hasrat Anwar hanya satu sahaja sekarang, iaitu mahu bebas dari penjara. Dan itulah juga yang dibuat Azmin. Yang lain tidak penting," katanya yang juga rakan rapat Anwar.

Menurut Redzuan, Azmin antara pihak yang dilarang dari menemui Anwar di penjara.

Kali terakhir Azmin menemui Anwar adalah sebelum Aidilfitri yang lalu.

Ketiadaan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di majlis perkahwinan anak perempuan Azmin itu juga tampak ketara, tetapi sumber yang hadir berkata, ini kerana presiden PKR itu tidak sihat.

Keluarga Anwar sebaliknya diwakili anaknya Nurul Iman dan adik pemimpin dipenjara itu, Rosli.

Menurut satu sumber, tidak perlu terlalu diperbesarkan mengenai kata-kata sentimental Azmin terhadap Dr Mahathir, kerana sememangnya dalam sesebuah majlis perkahwinan, tuan rumah akan bercakap hanya mengenai tetamu penting yang hadir sahaja.

Seorang lagi penyelidik, Mohamad Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, bersetuju dengan kenyataan Redzuan yang fokus PKR ketika ini, baik dari mana-mana kem pun, ialah pembebasan Anwar.

"Fokus PKR sekarang, dari mana-mana kem pun, adalah membebaskan Anwar," kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insider.

Menurut beliau, matlamat utama pertemuan yang dibuat pemimpin PKR dengan tokoh-tokoh yang melawan Datuk Seri Najib Razak dalam Umno selama ini, adalah juga membebaskan Anwar.

"Saya dapat tahu antara syarat utama kerjasama jatuhkan Najib dengan Dr Mahathir atau Tengku Razaleigh Hamzah (ahli Parlimen Gua Musang) adalah bebaskan Anwar," kata Hisomuddin.

Beliau mengakui matlamat bebaskan Anwar akan menyebabkan rasa tidak senang masyarakat sivil terhadap PKR, namun mereka yakin pembebasan Anwar akan lebih memudahkan.

"Matlamat masyarakat sivil adalah perjuangan untuk rakyat, namun mana-mana kem dalam PKR juga yakin, bebaskan Anwar akan membolehkan mereka mencapai matlamat untuk rakyat itu," katanya. – 24 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hubungan-azmin-dr-mahathir-bukan-halangan-pkr-masih-utamakan-bebas-anwar#sthash.2cII84Qk.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...