TERKINI :

Saturday, December 5, 2015

#HIJAUKUNING| Info Tiket | SHAH ALAM semakin hampir, tapi masih jauh...


2 gol di tempat lawan yang diperoleholeh pasukan Kedah pada aksi separuh akhir pertama bertemu Felda United sebenarnya masih belum selamat jika diambil kira kemampuan pasukan lawan sebelum ini. Walaubagaimanapun, untuk para penyokong Kedah, bolehlah menarik nafas lega seketika memandangkan keputusan dan sedikit kelebihan yang wujud di atas kertas itu berpihak kepada Lang Merah. Yang pasti dan nyata, jelas ‘bumbung’ Stadium Shah Alam sudah mula singgah dalam mimpi serta impian para penyokong setia hijau kuning.

Felda united jelas dalam keunggulan yang tersendiri dibarisan serangan. Namun seperti yang saya bicarakan dalam edisi sebelum ini mengenai peningkatan displin bertahan dan kekebalan barisan pertahanan mereka musim ini, ia tidak berapa jelas kelihatan apabila skuad Lang Merah masih mampu mengucar kacirkan mereka sebagaimana mereka lakukan terhadap pasukan lain.

Kembalinya Baddrol Bakhtiar menjelang separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2015 pada hari Ahad ini juga mungkin boleh menjadi faktor penting sama ada Kedah berpesta mahupun berduka sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan. Begitupun, pasukan lawan yang turut mendapat semula khidmat legenda Liga Malaysia, Indraputra yang kembali ke pangkuan pasukan selepas selesai menjalani pergantungan satu perlawanan, menjanjikan bahawa ’game on’ buat kedua-dua pasukan dan tidak akan terlalu berat sebelah nanti.

UBAH

Ramai yang mengkritik corak bertahan hijau kuning pada aksi di Selayang dengan meletakkan kesalahan di bahu kapten, Khairul Helmi Johari dan rakan seposisinya. Cuma sedarkah anda mereka hanya menurut arahan daripada barisan kejurulatihan untuk mengamalkan ‘zonal marking’ yang membuatkan permainan lebih terbuka berbanding memilih untuk bertahan? Dengan corak sebegitu rupalah menjadi asbab juga untuk pasukan menampilkan corak serangan yang efektif selama ini dan jika ditukar kepada ‘man to man marking’ daripada awal permainan, kita tidak akan mampu untuk menyerang dengan sedemikian rupa.

Walaubagaimanapun, saya juga sedikit risau dengan apa yang berlaku tempoh hari tetapi saya merasakan pemangku jurulatih, Ramon Marcote dan Nizam Adha mungkin boleh menggunakan prinsip ‘man to man marking’ yang diselang-seli dengan ‘zonal marking’ agar tidak terlalu mengganggu corak menyerang si Lang Merah. Apa tidaknya jika kerap dibiarkan berluasa Tiago Agusto dalam ‘final third’ hijau kuning, bahana yang menanti!

Mungkin juga pendekatan ‘double pivot’ atau dalam bahasa mudahnya, meletakkan dua pemain tengah bertahan mampu membendung kelincahan Zah Rahan Krangar dari bertindak bebas menyalurkan bola kepada bahagian atas. Kita hanya memerlukan seri 0-0 ataupun 1-1 untuk layak dan dengan bahagian serangan felda yang mantap, maka mengekang mereka menjaringkan gol adalah amat penting tetapi dalam masa yang sama, kita tidak mahu mengamalkan taktikal ‘berkampung’ sebaliknya bermain seperti biasa. Apapun terpulang kepada kem kejurulatihan untuk mencatur terbaik seperti yang telah dibuktikan sebelum ini.

ELAK TRAGEDI 2012

Masih terkenang tragedi separuh akhir kedua Piala FA 2012 antara Kedah bertemu Kelantan di venue keramat, Stadium Darul Aman. Dengan keputusan 1-1 di Kota Bharu ditambah 2 gol legenda hijaukuning, Khyril Muhymeen Zambree pada separuh masa pertama, Kedah dilihat akan mara ke perlawnan akhir. Malangnya 45 minit berikutnya bumi ibarat berputar 360 darjah!

Pengajaran yang amat berguna buat pasukan untuk kekal fokus dan berjuang selagi perlawanan belum tamat. Begitu juga untuk para penyokong agar tidak riak dan takbur kerana Yang Maha Berkuasa mampu melakukan apa sahaja terhadap tindakan yang dibenciNya itu. Apa tidaknya, masih jelas terdengar perbualan ramai penyokong yang menempah bas ketika rehat separuh masa pertama ditambah tindakan segelintir penyokong yang melakukan provokasi murahan dan merendah-rendahkan kemampuan pasukan lawan. Pengakhiran yang cukup mendukacitakan apabila ramai terpaksa membatalkan tempahan bas sebaik wisel penamat ditiupkan.

LAUTANHIJAU KUNING

Rasanya saya tidak berniat untuk menaip dan mengulas lebih panjang kali ini. Biarlah yang lebih pakar mementukan halatuju pasukan manakala kita sebagai penyokong, menjalankan tugas kita menjadi pemain kedua belas pada hari Ahad ini. Tidak perlu saya gambarkan suasana pada hari bersejarah tersebut kerana semua sedia maklum betapa meriahnya kelak. “Lepas Zohor kena beratur depan pintu dah!” mungkin ayat yang melucukan tetapi amat sesuai sekali untuk menggambarkan suasana di Stadium Darul Aman nanti.

Di sini juga saya memohon untuk semua mengenakan pakaian berwarnakan hijau atau kuning. Amat memohon kerana tidak pernah sekali lagi dalam hidup saya ke Stadium Darul Aman dapat mellihat hanya dua warna ini sahaja menjadi lautan hijau kuning. Pasti ada sahaja baju yang tidak dijadikan warna rasmi pasukan bola sepak negeri Jelapang Padi ini. Bukanlah saya meminta untuk memakai jersi, sebaliknya hanya mengharap warna menjadi lambang rasmi menyatakan ‘hijau kuning itu Kedah dan Kedah itu hijaukuning’ dapat direalisasikan!

Pasti lautan hijau kuning yang dibentukoleh 30,000 penyokong yang hadir daripada seluruh pelusuk kawasan menjadi kemenangan moral pertama buat pasukan. Sorakan, bunting dan kibaran bendera pula sebagai gol penting menggerunkan Irfan Bakti dan anak-anak buahnya!

DOA

Seperti biasa juga, saya akan terus berusaha mengingatkan kita semua agar sentiasa mendoakan kejayaan hijau kuning kerana sebagai penyokong yang beragama Islam, ini antara usaha kita daripada aspek kerohanian untuk membantu pasukan memandangkan doa adalah senjata terbaik selain melaungkan sorakan semangat yang lebih bersifat fizikal.

Stadium Darul Aman pula akan berehat daripada sebarang acara bola sepak membabitkan skuad hijau kuning untuk tempoh sebulan setidak-tidaknya selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua nanti. Semoga perlawanan penutup di venue keramat ini dapat ditamatkan dengan nota kemenangan sekaligus mara ke perlawanan akhir pertama pada 12 Disember sejak kali terakhir melakukannya pada 2008. Jumpa hari Ahad ini di Darul Aman! Pulun Kedah Pulun!

----------------------------

INFO TIKET :

Tiket akan mula dijual petang ini. Tiket adalah terhad dan 'first come first serve basis'.

Banyak lagi tiket akan dijual pada hari esok, Ahad, hari perlawanan bermula jam 9.00 pagi.

Setiap pembelian dihadkan 5 keping tiket.

JADUAL PENJUALAN TIKET TM PIALA MALAYSIA 2015
Stadium Darul Aman

SEPARUH AKHIR 2
KEDAH vs. FELDA UNITED FC
6.12.2015 Ahad 8.45 malam
Stadium Darul Aman
LIVE di TV9

HARGA TIKET:
RM10.00 Terbuka
RM16.00 Berbumbung
RM22.00 Astaka Utama

*Kanak-Kanak bawah 7 tahun tidak dikenakan tiket.
*Harga tiket termasuk caj 6% GST yang dikenakan oleh pihak pengeluar tiket.

WAKTU JUALAN:
Sabtu: 3:00 - 6:00 petang (tiket terhad, first come first serve basis)
Ahad: 9:00 pagi - 9:30 malam (kaunter dibuka hanya selagi tiket masih ada)

KAUNTER TIKET:

Sabtu:
-PETANG- 3:00 petang - 6:00 petang
Kaunter Astaka A3 (tiket untuk RM22.00)
Kaunter D -Depan KFC- (tiket untuk RM16.00 dan RM10.00)

Ahad:
-PAGI- 9:00 pagi - 12:00 tengahari
Kaunter Astaka A3 (tiket untuk RM22.00)
Kaunter B, D (tiket untuk RM16.00 dan RM10.00)

-PETANG- 3:30 petang - 9:30 malam
Kaunter Astaka A3 (tiket untuk RM22.00)
Kaunter B, D, F (tiket untuk RM16.00 dan RM10.00)

LALUAN PINTU MASUK STADIUM:
Astaka utama (W1 & W2)
Berbumbung (B1 & B4)
Terbuka / Teres (T1, T3, T4 & T6)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...