TERKINI :

Thursday, December 31, 2015

Hidup rakyat diramal lebih ‘teruk’ pada 2016

PETALING JAYA: Kehidupan rakyat di negara ini diramal akan lebih mencabar pada 2016 kerana kenaikan kos sara hidup yang berterusan terutamanya disebabkan kenaikan harga barangan dan pengangkutan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sekiranya tidak ada pemulihan harga minyak dan kejatuhan nilai Ringgit masih berterusan, kehidupan rakyat sebagai pengguna akan menjadi lebih teruk.

“Jika kedua-duanya masih berlaku, memang ia akan menyebabkan keadaan menjadi teruk. Macam mana pemulihan harga minyak itu boleh dinaikkan atau Ringgit itu dapat dipulihkan ia akan memberi kesan kepada pengguna.

“Kerajaan harus mencari langkah-langkah (menyelesaikan) keadaan ekonomi yang berlaku sekarang ini (agar) dapat dipulihkan,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Sehubungan itu, Abdul Rahman turut menggesa agar kerajaan dapat menghentikan sebarang kenaikan kos sara hidup melibatkan rakyat.

“Umpamanya jika tol PLUS meningkat akan beri kesan kepada pengguna, rasionalisasi barang-barang keperluan jika kerajaan laksanakan juga tahun depan sudah tentu memberikan kesan kepada pengguna,” tegasnya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut menjangkakan kehidupan pengguna akan lebih mencabar pada 2016 jika kos sara hidup tidak diperbetulkan.

Katanya, untuk mengatasi perkara itu, perlunya ada langkah-langkah tegas dan perancangan yang baik oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Pengguna perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi semua ini. Kerajaan perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dari aspek ketirisan, penjimatan, permudahkan kerja.

“Ia berkait rapat sebenarnya. Jadi kita kena lakukan semua itu bagi mengatasi cabaran yang begitu besar hari ini,” katanya.

Kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan berlaku selepas kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April lalu.

Ia ditambah dengan kenaikan kadar tol beberapa lebuh raya antara bandar pada Oktober lalu dan kenaikan tambang pengangkutan awam berkuatkuasa 2 Disember lalu.

Tahun hadapan, kadar tol lebuh raya PLUS dijangka naik sebanyak lima peratus seperti mengikut perjanjian konsesi. Namun setakat ini, kerajaan belum memberi kata putus.

Lapan lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Link Kedua, Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Selat Klang Utara (NKSB) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Tambang ERL pula naik sebanyak RM20 bagi perjalanan sehala kepada RM55 berkuatkuasa 1 Januari 2016.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...