TERKINI :

Wednesday, December 30, 2015

Hero Ke Tali Gantung...Selamatkan Zulkifli.. Siapakah Zulkifli.... Tahukah anda akan kisah Zulkifli..?


“Nik, nanti Ahad ni abang hendak bahas dengan peguam balik sana boleh kan?” tanya Zulkifli kepada saya ketika lawatan lalu. Ahad (semalam) dijadualkan akan berlaku sebutan pertuduhan di Mahkamah Kemaman.

Saya tergelak ketika itu. Saya cakap “Ini baru hendak mula buka fail bang, cuma hendak sebut saja perbicaraan akan berlangsung kerana apa dan bila tarikh perbicaraan berikut, belum ada hendak bahas-bahas ni. Abang pergi kejap tidak sampai 30 minit abang balik dengan anak-anak dan datang semula bila perbicaraan. Selalunya sebulan paling cepat.”

Semalam saya rasa terkejut dan sangat bersalah. Kata-kata saya yang menceriakan Zulkifli ketika itu berubah menjadi racun.

Semalam pada “prosiding ringkas” yang saya khabarkan pada beliau berubah menjadi hari paling menakutkan. Zulkifli ditahan semula setelah pertuduhan dibuat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak cukup dengan itu tambah lagi bawah seksyen 326.

Isteri beliau, Zaimah menghubungi saya ketika saya dalam perjalanan pulang ke Selangor. Bagai dalam mimpi menerima berita ini. Nombor 302 itu benar-benar menghantui saya. Nombor ini tidak membenarkan ikat jamin berlaku kerana jika sabit kesalahan bermakna tali gantung menanti.

Mahkamah dijadualkan bersidang pada 24 Januari depan. Sekitar 25 hari dari sekarang. Jika sebelum ini ketika direman 14 hari, keluarga tak dapat berniaga makanan malah diceroboh lagi rumah dengan beberapa kecurian dari penagih dadah yang makin bertambah di kawasan sekitar, apakan pula yang berlaku selama 26 hari sebelum perbicaraan ini?

Apa mahkamah mahu menanggung isteri dan anak-anak hero ini? Apa undang-undang mampu menyelamatkan 4 beranak ini yang pada bila-bila masa pintu nipis rumah itu ditendang dan dimasuki perompak?

Buat masa ini kami sangat terkedu dengan apa yang berlaku. Sangat sedih dan terperanjat. Perancangan jangka masa pendek ialah mewujudkan tabung bantuan buat keluarga ini.

Tabung bantuan hasil derma orang ramai akan digunakan bagi memastikan keluarga ini dapat meneruskan kehidupan, juga membantu pembiayaan kos perjalanan keluarga ini untuk ke mahkamah. Juga sekiranya tiada mana-mana peguam yang sudi mengambil kes ini secara pro bono maka tabung ini akan digunakan untuk membayar kos guaman.

Perbicaraan pada 24 Januari nanti berlangsung pada hari Ahad, dimana Ahad merupakan hari bekerja di Terengganu namun hari cuti buat kebanyakan negeri. Kami mengharapkan agar para pembaca sudi bersama kami menyatakan solidariti buat keluarga Zulkifli dengan hadir ke perbicaraan tersebut di Kemaman, Terengganu.

Maka saya mohon 3 perkara dari kalangan pembaca yang dihormati sekalian. Pertama, sebarkan seluasnya berita ini, raih simpati semua orang untuk membela nasib Zulkifli dan keluarga.

Kedua, viralkan hashtag #ZulkifliHeroRakyat disetiap laman maya terutamanya twitter.

Ketiga, bersiap sedia untuk memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada keluarga ini bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Buat masa ini semua akaun dibawah nama Zulkifli, maka pihak kami sedang usahakan alternatif yang lain. Harap sentiasa ikuti perkembangan di page facebook rasmi Pemuda Sosialis PSM untuk mengetahui bila tabung tersebut sudah bersedia untuk menerima sumbangan. Jika kita tidak bertindak, siapa lagi? – 28 Disember, 2015.

*Nik Aziz Afiq Abdul ialah Ajk Pusat, Pemuda Sosialis (PSM).

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hero-ke-tali-gantung-nik-aziz-afiq#sthash.HqZWEg5d.dpuf
======================================================


Setiap kali membaca kisah Encik Zulkifli, aku paksa diri untuk tahan air mata, sungguh aku tak mampu melafazkan kata-kata oleh kerana terlalu sebak mengenang kisah seorang hero keluarga.Alhamdulillah pada hari jumaat yang lalu aku diberi peluang menziarahi hero keluarga ini. Aku juga ingin berterima kasih kepada tuhan kerana menumpangkan aku bersama komrad PSM yang setiasa cakna untuk membela nasib rakyat yang ditindas.Aku bangga berada dalam bahtera perjuangan ini, ianya mampu melaksanakan cita-cita dan impian aku yang diajar sejak kecil oleh ummi dan ayah untuk berbakti kepada masyarakat.

Pada jam 5.00 pagi Ariff yang merupakan sahabat baik menghubungi aku untuk bangun awal bersiap untuk memulakan perjalanan ke Terengganu, aku begitu teruja dan bersemangat untuk memulakan jelajah ke Terengganu, hajat aku mahu jadikan ziarah ini sebagai aktivti bermanfaat pada hari minggu.Lokasi pertama aku untuk singgah di Jerteh berjumpa dengan keluarga Abah Zaid, aku ingin melahirkan rasa terharu dan jutaan terima kasih atas layanan yang diberikan, kami kenyang bertenaga untuk meneruskan perjalanan.Begitu berharga detik bersama, aku sebagai generasi baru dalam keluarga berazam ingin meneruskan ukhwah kekeluarga yang terbina sejak berzaman lagi.

Selepas melepasi Bandar Jerteh, Ariff memaklumkan bahawa minyak kereta perlu diisi untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, kami bukan orang yang kaya, aku baru tamat belajar masih berkira-kira untuk menyambung pengajian,sekarang hanya bekerja sebagai amatur designer sebuah syarikat di Kota Bharu, sementara Ariff pula masih belajar dan mengambil upah menjual stokin di Tesco pada malamnya oleh kerana siangnya terikat dengan waktu pengajian.Minyak kereta kami sama-sama kongsi duit kemudian Ariff telah memasak awal pagi untuk bekalan kami agar kekal bertenaga sepanjang perjalanan.

Setelah selesai beberapa aktiviti di Kuala Terengganu, aku bersama team Pemuda PSM mula bergerak ke Kerteh, lokasi rumah Encik Zulkifli hero keluarga yang kami sanjungi, kami bertolak pada jam 5.00 petang kemudian selamat sampai lebih kurang pada waktu hampir magrib.Setelah sampai aku yang belum sempat mengecam wajah En Zulkifli, lantas beliau memberi salam, dalam fikiranku mungkin inilah Encik Zulkifli.Apa yang membuatkan aku tahan air mata ialah,belum sempat kami keluar dari kereta,beliau datang “menyerbu” dan membuka pintu kereta menyambut kami, disamping itu kami dihadiahkan “pelukan erat seorang ayah” yang meraikan kehadiran kami.Situasi yang membuatkan aku bertambah kuat tahan air mata memikirkan nasib beliau.

Kami dijemput masuk ke rumahnya, belum sempat kami duduk , Encik Zulkifli tidak menyebut perkara lain selain menyuruh kami makan masakannya yang telah siap rapi. Dibukakan pintu kereta, dipeluk dengan penuh kasih sayang, kini dijamu pula dengan nasi minyak, perasaan malu menyelubungi aku.Beliau dengan nada gurauan mesra menyuruh kami makan sebanyak mungkin kerana bukan mudah nak makan Nasi Minyak khas dari Terengganu.Aku sebenarnya sangat malu kerana seperti “tertukar”, siapa sebenarnya yang perlu dibela,oleh kerana layanan Encik Zulkifli terlalu baik kepada kami.

Setelah makan kemudian kami solat seterusnya solat hajat, selepas itu kami mendengar kisah kejadian yang diceritakan Encik Zulkifli, aku hanya mampu mendengar tak mampu menterjemahkan apa-apa, begitu sebak dengan apa yang berlaku, seketika berada disana aku dapat rasa indahnya kebahagiaan keluarga Encik Zulkifli, aku tak dapat bayangkan perasaan anak-anak dan isteri jika Encik Zulkifli dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang Malaysia yang jelas menindaskan Encik Zulkifli sekeluarga yang mempertahankan diri dari perompak.

Dari reaksi wajah Encik Zulkifli aku lihat beliau cukup tenang menghadapi semua ujian ini, beliau meletakkan segala kebergantungan kepada Allah S.W.T, beliau juga berani untuk tidak menggunakan khidmat peguam dan mampu berhujah dengan fakta sebenar di makhamah.Perkara yang demikian sangat mengujakan aku untuk dijadikan inspirasi dalam perjuangan.

Aku menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama bersolidariti dan mendoakan yang terbaik kepada Encik Zulkifli, anggaplah beliau adalah ayah kita semua, wajarkah kita sebagai anak hanya melihat kezaliman dan penindasan terus bermaharajalela di bumi bertuah ini.Ayuh kita nyatakan sokongan kepada Encik Zulkifli.

Berjuanglah ayah, anak disini akan selalu ada bersamamu.

Wan Muhammad Faisal Bin Wan Zain
30 DISEMBER 2015
=============================================
TOLONG JANGAN NANGIS

Ahad lalu sepatutnya menjadi tarikh sebutan kes di mahkamah.

Apa yang berlaku tiba-tiba kes disebut bawah 2 pertuduhan iaitu 302 dan 325.

302 menyebabkan perlu tahan semula (tiada ikat jamin dibenarkan)

Maka terkejutlah sekalian keluarga. Sebelum ini 15 ribu telah dibayar ikat jamin waktu kes bertukar dari 302 pada 304. Kini kembali pula pada 302.

Video ringkas ini saat Zulkifli dibawa keluar dari mahkamah sebelum dibawa ke penjara Marang.

Tolong jangan nangis.

============================================
Salahkah pertahankan diri di Malaysia? – Nik Aziz Afiq Abdul

Published: 26 December 2015 9:37 AM

2010 kita digegarkan dengan kes Kalaichelvi. Beliau memukul kepala seorang lelaki yang cuba merogolnya dan akhirnya lelaki itu mati. Kalaichelvi dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun kerana membunuh tanpa niat.

Peristiwa sama berulang 2 minggu lalu di Terengganu. Sebuah kampung terpencil bernama Labuhan di Kerteh menyaksikan seorang perompak mati ditikam Zulkifli yang cuba pertahankan diri dan harta benda dalam kawasan rumahnya sendiri.

Apa berlaku? Zulkifli direman 14 hari bawah siasatan seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kemudian ditukar pada 304 membunuh tanpa niat. Beberapa hari lalu beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM15,000.

Syukur kehadrat Allah kami dari Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia diberikan kemampuan untuk menemui keluarga ini Maghrib semalam. Hampir dua jam perjalanan dari Kuala Terengganu benar-benar melelahkan tambahan kami bergegas setelah edaran risalah penerangan anti TPPA sekitar ibu negeri itu.

Sebaik sampai, Zulkifli memeluk kami dengan penuh erat. Tanpa sebarang kata masing-masing seakan dapat menyelami derita seorang ayah dan suami yang hanya mahu menjalankan kewajipan dengan memberikan perlindungan terbaik semampunya tetapi mungkin bakal berpisah lama dengan anak dan isteri kerana tafsiran undang-undang negara yang melihat beliau melakukan jenayah.

Zulkifli berumur 50 tahun, manakala anak-anaknya berumur 9 tahun ke bawah. Anak kedua Zulkifli yang berumur 8 tahun didiagnos menghidap autisme. Sehingga kini pertuturannya tidak jelas dan keluarga ini tidak mampu mendapatkan rawatan berkala buat anak ini kerana hospital yang menyediakan rawatan fisioterapi autisme terletak 120 kilometer dari rumah mereka.

Berkenaan rumah mereka sendiri amat menyedihkan, anda hanya memerlukan 10 langkah sahaja dari pintu depan untuk anda sampai ke pintu belakang. Sebuah rumah sempit yang mendapat keizinan sejak 14 tahun lalu untuk dibina atas rezab jalan. Namun sempit dan miskin tidak halang keluarga ini menikmati kehidupan bahagia dan patuh beragama.

Penghalang sebenar kebahagiaan mereka ialah apabila seorang ayah ditahan dalam lokap berpanjangan dan dianggap penjenayah. Ketika reman 14 hari sebelum ini Puan Zaimah isteri kepada Zulkifli tak mampu untuk berniaga sarapan pagi seperti kebiasaan. Habis terganggu ekonomi keluarga ini di samping ada segelintir mulut jahat yang menghina suaminya sebagai pembunuh membuatkan beliau lebih selesa berkurung bersama 3 anaknya dalam rumah sempit itu.

Zulkifli menceritakan kejadian yang berlaku ketika itu. Rupanya rumah Zulkifli dan masyarakat sekitar kerap dimasuki pencuri dan perompak dari kalangan penagih dadah. Malah ketika reman berlangsung beberapa kabel eletrik rumah ini dicuri pencuri lain.

Disebabkan itu mereka sangat berwaspada andai kelihatan orang mencurigakan mendekati kawasan rumah mereka. Ketika hari kejadian Zaimah melihat ada dua orang lelaki menaiki sebuah motorsikal dalam keadaan mencurigakan melalui jalan menuju ke rumah mereka. Ketika itu Zaimah dan Zulkifli berada di warung kecil sarapan pagi mereka sekitar 300 meter dari rumah mereka.

Zulkifli mengikuti dengan berhati-hati dan ternyata motorsikal itu berhenti di rumahnya. Pembonceng motosikal turun dan mula mengumpil generator sebelah dinding rumahnya manakala seorang lagi berjaga-jaga di atas motorsikal.

Ketika mereka melihat Zulkifli sampai lelaki pertama yang berada di atas motorsikal meluru pada Zulkifli dengan membawa satu objek dipercayai besi untuk memukul Zulkifli, beliau tanpa berlengah terus mengeluarkan parang kecil yang digunakan untuk memotong ayam di warung setiap hari dan berjaya menikam lelaki pertama. Lelaki kedua pula berlari ke arahnya dan sekali lagi Zulkifli berjaya menikam di bawah bahu lelaki tersebut.

Lelaki pertama kemudiannya cuba melarikan diri dengan motorsikal. Lelaki kedua juga berlari menyeberang jalan dengan harapan sempat menaiki motorsikal tersebut namun apabila sampai pada pembahagi jalan lelaki kedua rebah dan mati di tempat kejadian. Zulkifli kemudian terus serahkan diri ke Balai Polis Kerteh. Lelaki pertama ditahan pihak polis ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Hanya satu tikaman, di kawasan perkarangan rumah, yang tikaman itu sendiri tidak disangka akan mengakibatkan kematian demi mempertahankan diri dan harta maka Zulkifli pula bakal dilihat sebagai penjenayah berdasarkan tafsiran undang-undang kini?

Kes Kalaichelvi dahulu 2 tahun hukuman penjara dikenakan. Kalaulah Zulkifli dipenjara selama itu alamat meranalah isteri dan anak-anak kecil ini meneruskan hidup.

Zulkifli tiada rekod jenayah. Seorang anggota masyarakat yang baik, aktif ke masjid berdekatan, malah mungkin satu-satunya anak kampung itu yang mempunyai lesen menyelam! Ini kerana hobi sejak muda dan melalui hobi ini beliau kerap dipanggil dalam operasi membantu mencari mangsa lemas dan seumpamanya.

Kini nasib Zulkifli di tangan anda, di tangan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin. Adakah kita sanggup biarkan undang-undang merampas kebebasan seorang wira seperti Zulkifli?

Selepas solat hajat yang diimamkan pimpinan Pemuda Sosialis, beliau berkata dengan tegas beliau tak mahu malah tak mampu untuk mengupah peguam. Beliau berhasrat untuk mewakili diri sendiri ketika perbicaraan nanti.

Katanya "tiada apa perlu diselindungkan, saya akan cerita sebiji-sebiji apa yang berlaku, Allah saksi saya dan saya teringin nak tanya pihak pendakwaraya atas alasan apa ingin dikemukakan beliau di mahkamah Allah nanti kerana mendakwa saya atas hak saya sendiri?"

Pemuda Sosialis terpaksa beredar demi kembali ke Kuala Terengganu menyertai penerangan ideologi pada masyarakat. Sempat menyampaikan sumbangan kalian dan saling mendoakan.

Kami akan terus mengikuti dan melaporkan perkembangan terkini berkenaan kes ini. Kami mengalu-alukan bantuan para pembaca dalam segenap segi bagi meringankan beban keluarga ini. Juga menggalakkan para peguam budiman untuk sudi membela Zulkifli secara pro-bono.

Terima kasih pada anggota Pemuda Sosialis Pantai Timur terutama anggota dari Kelantan yang memandu tanpa henti dari pagi dan sehingga program terakhir jam 12 malam. Syukur mereka selamat tiba ke Kelantan jam 3 pagi dan rehat seketika sebelum kembali bekerja.

Terima kasih pada seluruh Komrad PSM Kelantan dan Terengganu yang memberikan sokongan serta nasihat dalam pengendalian isu ini.

Jika ada sebarang pertanyaan untuk menyalurkan bantuan sila hubungi saya melalui emel nunyaqaf_aku@yahoo.com atau 0177144750. – 26 Disember, 2015.

* Penulis merupakan Ajk Pusat Pemuda Sosialis.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/salahkah-pertahankan-diri-di-malaysia-nik-aziz-afiq-abdul#sthash.HvwvFNKH.dpuf

PAGE RASMI : https://www.facebook.com/selamatkanZulkifli/?_rdr=p

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...