TERKINI :

Wednesday, December 30, 2015

Henti kenaikan tambang, elektrik kerana harga petroleum turun, kata PKR

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mencadangkan supaya kerajaan menghentikan kenaikan tambang yang baru diumumkan dan mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25sen/kWj. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Disember, 2015.
PKR menggesa Putrajaya agar menghentikan kenaikan tambang pengangkutan awam serta kadar elektrik apabila mengambil kira penurunan harga petroleum yang berlaku sekarang.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan anggaran harga petrol RON95 yang dijangka berada pada RM1.80 sehingga RM1.85 seliter.

"Saya menyeru supaya kerajaan mengembalikan penjimatan harga minyak lebih besar yang sepatutnya dinikmati rakyat (jika tidak, kerana keadaan matawang ringgit yang tidak menentu) dengan cara berikut:

"Hentikan semua kenaikan tambang yang diumumkan setakat ini yang melibatkan pengangkutan awam seperti LRT, komuter, ERL, bas dan lain-lain untuk mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam.

"Mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, anggaran penurunan harga minyak mentah itu adalah berdasarkan Laporan “Weekly Petrol Prices Report” Institut Petroleum Australia, yang menyenaraikan harga RON95 seperti didagangkan di Singapura mengikut laporan Means of Platts Singapore (MOPS) bagi minggu berakhir 20 Disember 2015.

Ia juga dianggarkan berdasarkan laporan harga minyak mentah Brent bagi Disember 2015, yang diterjemahkan secara anggaran kepada harga MOPS RON95 bagi minggu terakhir Disember 2015 menggunakan kadar tukaran matawang semasa.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, berdasarkan pemerhatiannya, harga petroleum ditetapkan Putrajaya juga tidak selaras dengan penurunan harga minyak pasaran dunia – menyusut sebanyak 66% sejak Julai 2014.

"Saya mencadangkan sebelum ini supaya satu kaedah penetapan harga baru diperkenalkan dengan menggunakan maklumat kos pengeluaran sebenar loji penapisan minyak di Malaysia yang dikira di dalam ringgit bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan kadar matawang ringgit kepada dollar.

"Namun, saya yakin konsep ini tidak akan difahami menteri dan tidak akan dilaksanakan selagi Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa peringkat tertinggi bagi membincangkan kenaikan kos sara hidup. – 30 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/henti-kenaikan-tambang-dan-elektrik-kerana-harga-petroleum-turun-kata-pkr#sthash.UqOgM8qE.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...