TERKINI :

Wednesday, December 2, 2015

Harga Proton mahal kerana cukai k'jaan, kata Mahathir

  

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta orang ramai agar tidak terus-menerus mempersalahkan Proton Holdings Bhd (Proton) kerana perbezaan yang agak ketara harga runcit kereta keluaran tempatan itu di pasaran.

Sebaliknya, beliau yang juga adalah pengerusi syarikat pengeluar kereta tempatan itu mendakwa kerajaan adalah penyebab utama mengapa harga kereta buatan Malaysia ini mahal.

Mahathir berkata ia berikutan cukai yang dikenakan terhadap kereta tempatan itu terlalu tinggi dan tidak masuk akal sekali gus menyebabkan harganya melambung tinggi.

“Proton selalu dipersalahkan ekoran harga kenderaan yang mahal. Ia bukan salah Proton. Pihak kerajaan yang mahu mencukaikan kenderaan sehingga 300 peratus.

“Kerajaan mahukan pendapatan. Kita (Proton) bukan punca kepada harga kenderaan yang tinggi,” katanya pada sidang media di Pusat Kecemerlangan Proton hari ini.

Selain itu, Mahathir juga mendakwa bahawa terdapat kempen yang menggesa agar rakyat tidak membeli kereta buatan Proton selain syarikat kereta nasional itu tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk mengeluarkan kereta hybrid.

“Terdapat kempen untuk rakyat Malaysia supaya tidak membeli kereta buatan Proton.

“(Juga) tiada peruntukan khas untuk kereta elektrik. Cukuplah agar kerajaan tidak menggalakkan rakyat di negara ini untuk membeli kereta import,” sindirnya.

Malah, pemimpin veteran itu berkata sehingga kini pihak kerajaan masih belum membuat apa-apa bayaran royalti terhadap kereta elektrik buatan Proton.

“Kerajaan mahukan kita buat sebuah kereta elektrik, setelah kita buat dan harumkan nama negara, kita masih tidak menerima apa-apa bayaran.

“Sebaliknya, kita pula keluarkan duit sendiri untuk menghasilkan kereta hybrid, dan kereta elektrik,” katanya lagi.

Proton ditubuhkan pada tahun 1983 dan adalah cetusan idea Mahathir.

Objektif adalah supaya syarikat itu dan masyarakat bumiputera mampu bersaing di peringkat global dan dapat membawa Malaysia pada tahap yang lebih tinggi secara keseluruhan.

1 comment:

abrarmujahideen said...

Tun nie asyik bising jer..bukankah najib nie buah hati kamu dulu





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...