TERKINI :

Wednesday, December 16, 2015

Gugur hudud jika PAS nak sertai BN, kata MCA

KUALA LUMPUR, Rabu – Parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina – MCA – mengingatkan PAS supaya menggugurkan agenda hudud jika parti itu berhasrat menyertai BN.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata parti itu tetap dengan pendirian membantah rancangan PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud.

“Anda tahu pendirian MCA. Kita sudah pasti membantahnya semasa mesyuarat itu – melainkan mereka menggugurkan agenda hudud,” katanya mengulas langkah UMNO yang menghulurkan tali silaturahim kepada PAS demi perjuangan memartabatkan Islam.

Ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak membuka lembaran baru dalam hubungan politik antara UMNO dan PAS apabila menghulurkan tali silaturahim kepada parti Islam itu dalam usaha menuju kesempurnaan membina Malaysia yang mengikut syariat Islam sebenar.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO berasa lega dan gembira apabila PAS kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

“Kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,’’ katanya.

Tiong Lai berkata, MCA tidak akan campur tangan mengenai hal ehwal dalaman pentadbiran parti itu, tetapi jika PAS berhasrat menyertai BN, ia adalah hal lain.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...