TERKINI :

Wednesday, December 23, 2015

Fikir sebelum lapor orang berkhalwat

 naseer,khalwat
PETALING JAYA: Umat Islam seharusnya tidak terburu-buru membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam kes khalwat sebaliknya berusaha menutup keaiban mereka.

Dalam kolum terbarunya di Sinar Harian hari ini, pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Naser Tun Rahman berkata, ini kerana syariat Islam lebih mengutamakan sikap rahmat berbanding hukuman.

“Rakyat umum perlu dididik untuk sedar yang mereka ada hak menutup keaiban kawannya yang berkhalwat. Mereka tidak perlu rasa bersalah atau seolah-olah bersekongkol dengan mereka,” katanya yang lebih dikenali dengan nama Xifu Naser.

Beliau memberikan contoh peristiwa Nabi Muhammad yang enggan melayan seorang mengadu yang mengakui perbuatan khalwatnya, sehingga pengadu tersebut perlu mengekorinya dan mengadu beberapa kali.

“Ini menunjukkan syariah lebih condong kepada budaya elak laporkan kes zina atau khalwat kepada pihak berkuasa. Bagi amaran dan cuba fahami (keadaan sebenar) terlebih dulu,” katanya lagi.

Beliau juga kecewa apabila budaya ‘mencungkil keaiban’ sudah merebak dalam agama, sehingga sudah dianggap sebagai prinsip umum Islam.

Sebelum ini, kumpulan G25 menggesa agar hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan jika diadakan di rumah persendirian atas sebab ia mengganggu hak dan privasi individu.

Ia mengundang kecaman beberapa pihak, termasuk daripada Perkasa yang mendesak kerajaan mengisytiharkan G25 sebagai sesat.

Namun begitu, beliau tidak setuju dengan seruan G25 tersebut dan menganggap undang-undang tersebut masih relevan.

“Undang-undang khalwat bertujuan mendidik tentang bahaya khalwat…G25 dan agamawan patut melihat isu ini dalam konteks masalah budaya yang lebih luas,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...