TERKINI :

Wednesday, December 2, 2015

FAM gantung pengadil perlawanan PKNS - Kedah

Kedah minta penyokong kongsi video gol PKNS
Pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim (tengah) berbincang dengan penolong pengadil mengenai keputusan gol pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara PKNS FC dan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Bernama
JAWATANKUASA Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menggantung empat pegawai perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pasukan PKNS FC menentang Kedah di Stadium Selayang pada 28 November lepas.

Pengadil perlawanan Samsudin Ibrahim, penolong pengadil 1 Busrah Eri dan pegawai keempat Khairul Rizal Ismail digantung sementara waktu sehingga satu tindakan lanjut diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa akan datang, manakala penolong pengadil 2 Asmadi Noor digantung selama dua minggu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan media berkata keputusan Jawatankuasa Pengadil itu dibuat berdasarkan analisis video dan juga laporan daripada penilai pengadil bagi perlawanan itu, Zainal Abidin Yaacob.

Hamidin berkata Samsudin, Busrah dan Khairul Rizal dikenakan hukuman itu kerana kesilapan dilakukan dalam melaksanakan undang-undang permainan berkaitan syarat permulaan semula permainan selepas gol dihasilkan.

Katanya, mereka bertiga jelas telah melakukan kesilapan dalam membenarkan pemain PKNS FC untuk melakukan sepak mula ketika dua pemain Kedah masih berada di kawasan pasukan lawan selepas gol kedua Kedah menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-57.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kedah minta penyokong kongsi video gol PKNS]

Susulan daripada situasi itu, PKNS FC berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Mohd Faiz Isa pada minit ke-58 dan selepas perbincangan antara kesemua pegawai perlawanan berkenaan, gol PKNS FC tetap dikira sah lalu Samsudin meneruskan baki perlawanan.

Hamidin berkata Asmadi pula hanya digantung dua minggu kerana kedudukannya yang jauh dari tempat insiden berlaku tetapi tetap dianggap bersalah kerana tidak menggunakan konsep untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan berkenaan.

"FAM memandang serius perkara ini dan terus mengambil tindakan serta-merta dengan membuat keputusan penggantungan ini tanpa perlu menunggu laporan atau aduan rasmi daripada pasukan terlibat," katanya.

Pada perlawanan suku akhir kedua Sabtu lepas, Kedah menewaskan PKNS FC 3-1 sekaligus melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2.

Menurut Hamidin, keempat-empat pegawai perlawanan ini akan dipanggil menghadiri kursus 'refreshment' dalam masa terdekat untuk pihak Jabatan Pengadil FAM menjelaskan lebih mendalam tentang undang-undang permainan kepada mereka.

"Samsudin merupakan antara pengadil berpengalaman di negara ini dengan mengendalikan perlawanan penting Liga Malaysia termasuk final Piala FA 2014 antara Pahang dan Felda United.

"Keputusan dibuatnya pada perlawanan Sabtu lalu mungkin kerana beliau terlepas pandang serta terburu-buru dalam membuat keputusan," katanya.

Sementara itu, Hamidin berkata bagi memastikan pengadil FAM sentiasa dapat mengendalikan perlawanan dengan baik, FAM dari semasa ke semasa melakukan kursus 'refreshment' sebanyak dua atau tiga kali setahun yang dikendalikan instruktur Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk menjelaskan undang-undang permainan dengan menggunakan klip video dari liga domestik supaya lebih dekat dengan situasi sebenar.

Dalam pada itu, Hamidin berkata Jawatankuasa Pengadil FAM memberi peringatan kepada pengadil yang akan mengendalikan dua perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam esok supaya lebih fokus dalam melaksanakan tugas mereka bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

Separuh akhir pertama Piala Malaysia malam esok menyaksikan pasukan Pahang menerima kunjungan Selangor di Stadium Darul Makmur, manakala Felda United menentang Kedah di Stadium Selayang. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...