TERKINI :

Tuesday, December 29, 2015

Dugaan parti politik di Malaysia


Oleh Timmy Say



Umno

Kenaikan mendadak kos sara hidup dan kesusahan rakyat marhaen di kawasan tradisi bakal menentukan masa depan Umno.

Tidak siapa yang boleh menafikan Umno kini resah kerana PAS sudah muncul sebagai bahtera yang boleh diterima pengundi kawasan tradisi selepas senjata Umno “PAS kuda DAP” hilang bisa.


Cubaan berjinak-jinakan PAS supaya tidak melawannya tidak akan menjadi kerana PAS mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang kecil berbanding Umno.

PAS ingin menambah kerusi Parlimennya, dan caranya ialah menumbangkan Umno. Umno pula ingin mengekalkan apa yang ada kalau boleh, dan ini hanya boleh dilakukan jika Umno terus menewaskan PAS.

Kerjasama politik antara 2 parti hanya akan terjalin jika Umno sudi melepaskan kerusi Parlimennya kepada PAS, dan ini bermaksud mempertaruhkan nyawa BN sebagai kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri – dan ini yang menyebabkan perkara ini mustahil berlaku.

Pergolakan dalaman Umno akan berterusan. Setiap gerak-geri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membawa gegaran ditambah dengan suara pedas mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa yang dibimbangi ialah Najib akan disibukkan dengan tugas menjaga kedudukannya daripada tugas mentadbir negara, yang kini bakal berdepan dengan keadaan ekonomi yang meruncing kerana harga minyak sedunia yang kekal rendah.

PAS

Hari ini, parti ini paling banyak mendapat liputan akhbar arus perdana dan juga media baru ekoran pelawaan Umno untuk bekerjasama.

Perkara ini tidak menghairankan kerana PAS, selepas berputus dengan DAP, muncul menjadi parti yang bakal menentukan pihak mana yang menang.

Pendirian PAS untuk kekal sebagai pembangkang mengecewakan BN dan juga Amanah serta DAP. Umno mengharapkan PAS tidak mencabarnya kerana menyedari PAS adalah pencabar utamanya di kerusi majoriti Melayu.

Pakatan Harapan terutamanya Amanah dan PKR bimbang pertandingan 3 penjuru yang melibatkan kerusi yang pernah dimenangi pembangkang bersama PAS. DAP pula risau dengan nyawa Amanah sekiranya bertembung 3 penjuru dengan PAS.

Realitinya, PAS mempunyai cukup pengaruh menjadi penentu kemenangan orang lain. Antara kelebihan yang ada pada PAS kini ialah PAS sudah stabil selepas melepasi krisis dalamannya untuk mencatur strategi politiknya manakala parti-parti besar yang lain sedang bergolak secara dalaman.

DAP

Pulau Pinang amat dibimbangi akan menjadi medan pengundian mengikut perkauman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana DAP kini bermusuh dengan Umno dan PAS pada masa yang sama.

Perkara ini sangat tidak sihat untuk negara, tapi itulah realiti politik di Pulau Pinang hari ini hasil daripada strategi politik yang diambil DAP.

Rakyat bakal menyaksikan bagaimana strategi popular “musuh punya lawan ialah kawan” bakal makan diri pada pengamalnya dan lahirnya angin “Asal Bukan DAP” di Pulau Mutiara itu.

Jika DAP terus leka dan tidak berwaspada dengan kesilapan-kesilapan besar dan tidak sensitif seperti tindakan DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa 2 peserta luncur angin dari Israel untuk menyertai Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf), DAP akan terus menyusahkan Amanah dan PKR yang terpaksa bertanding di kawasan campuran majoriti Melayu kerana kawasan campuran majoriti Cina sudah dibolot DAP sepenuhnya.

PKR

Pemilihan PKR tahun depan bakal menentukan hala tuju parti itu yang sebenarnya. Pergeseran dalaman PKR yang ditutup rapi oleh media juga akan terburai.

Apakah nasib Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali? Apakah PKR akan kekal persepsinya sebagai parti yang hanya melakukan segalanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau parti pembangkang yang ada agenda tersendiri?

Apakah fenomena tsunami yang melanda Pemuda PKR pada pemilihan parti itu yang lalu akan melanda ke keseluruhan parti kali ini?

Kena ingat ketika pemilihan parti yang lalu, Azmin masih bukan menteri besar Selangor dan pasukan beliau menang besar walaupun terpaksa bertempur dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang masih memegang jawatan menteri besar ketika itu dan orang kanan Anwar, Saifuddin Nasution.

Parti Amanah Negara

PAS sebagai parti yang besar, turut menerima padah digelar sebagai “kuda DAP” ketika bertahaluf dengan DAP.

Oleh itu, persoalan utama yang perlu dijawab parti ini ialah apakah mereka mempunyai strategi untuk menghilangkan persepsi yang ia bukan proksi DAP sebagaimana yang dipersepsikan, lebih-lebih lagi apabila pemimpin PAS terdahulu yang dilihat lunak dengan DAP kini menerajui Amanah?

Bolehkah parti ini boleh bergerak keluar daripada posisi menyerang dan memburukkan PAS dan Presiden PAS untuk menjustifikasikan kewujudan diri sendiri?

BN dan PBB

Jika BN tiada lagi pemimpin berwibawa untuk dijadikan perdana menteri dari kalangan Umno, barangkali PBB boleh mengambil peranan itu sementara waktu dengan membawa Tan Sri Adenan Satem ke peringkat Parlimen pada PRU14 untuk menjadi pengerusi BN dan seterusnya menjadi perdana menteri sekiranya Najib mengambil keputusan untuk berundur.

Adenan kini layak kerana PBB akan muncul sebagai parti tunggak, selepas Umno, yang mengekalkan kuasa BN di Putrajaya. Ini sekadar cadangan syok sendiri untuk dipertimbangkan oleh BN.~TMI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...