TERKINI :

Sunday, December 6, 2015

Dr Mahathir: Najib rampas kuasa Agong, raja

Tindakan Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan merampas kuasa Yang Dipertuan Agong, dakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akta itu juga, kata Dr Mahathir, MKN juga akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain mengurangkan kuasa raja-raja.

“Kuasa Agong sekarang telah dipindahkan kepada beliau (Najib).

"Dengan kuasa itu, dia boleh mengisytiharkan darurat dengan mendakwa terdapat ancaman keselamatan. Siapa saja yang didakwa cuba sabotaj negara boleh ditangkap," katanya di majlis Bicara Santai Bersama Dr Mahathir di Senawang hari ini.

Proses pembentangan dan undian rang undang-undang itu didakwa dilakukan secara tergesa-gesa pada hari terakhir sidang parlimen kali ini.

Ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang hingga memaksa perbahasan berlarutan hampir enam jam, sebelum diluluskan melalui undi belah bahagi.

Ketika undian dijalankan rang undang-undang itu mendapat 107 undi menyokong manakala 77 undi menolak.

Dilulus undian majoriti

Antara hujah ketika perbahasan pembangkang adalah bahawa rang undang-undang itu menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri - atas kedudukannya sebagai Pengerusi MKN - kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan daripada anggota majlis berkenaan.

Apabila pengisytiharan dibuat, pasukan keselamatan dibenarkan membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas rang undang-undang yang diluluskan secara undi majoriti Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini berkata sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan ia boleh digunakan untuk menangkap sesiapa saja yang dianggap kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara".

Bagaimanapun, pemimpin veteran Umno itu berkara pentadbiran Najib lupa sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya nanti, kerajaan sekarang pula akan berdepan tindakan sama.

"Tetapi mereka lupa bahawa jika mereka kalah dalam pilihan raya umum dan yang jadi kerajaan parti lawan, pembangkang akan tangkap mereka semua," kata Mahathir sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

2 comments:

abrarmujahideen said...

Lagi teruk dr akta darurat..akta hasutan. Kuasa mutlak wewenang

NAA ZAR said...

Kaaan aku DAH CAKAP......
Si Luncai terjun dgn labu labunya.....
BIARKAAAAN.....BIARKAAAAAAAN !!!!!!
Apa apa pun....SENJATA AKAN MAKAN TUAN





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...