TERKINI :

Wednesday, December 23, 2015

Dewan Negara lulus RUU MKN

nsc,dewan-negara
KUALA LUMPUR: Pada Selasa malam, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015, maka hanya perkenan Yang di-Pertuan Agong diperlukan untuk mengangkat RUU itu sebagai undang-undang.

Perbahasan RUU selama dua hari itu bermula Isnin sebahagian besarnya tertumpu kepada kebimbangan ia disalahguna oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengkritik RUU itu bimbang ia akan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan situasi darurat tanpa perkenan Tuanku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan kuasa untuk mengisytihar darurat merupakan kuasa mutlak Agong, dan Perdana Menteri hanya boleh mengumumkan “kawasan keselamatan” di satu-satu kawasan sahaja.

Ketika perbahasan berlangsung, beberapa senator Barisan Nasional bingkas mengkritik RUU itu dan menggesa pentadbiran Najib supaya mendengar suara bangkangan di Dewan Negeri yang khuatir dengan kesan luas undang-undang itu.

Namun, bangkangan sekadar bangkangan dan akhirnya senator BN meluluskan RUU kontroversi itu.

Menurut RUU itu, bidang kuasa MKN berkuatkuasa sebaik sahaja Perdana Menteri menandakan satu-satu lokasi itu sebagai “kawasan keselamatan” – status yang sah selama enam bulan pada satu-satu masa, dan boleh diperbaharui oleh Perdana Menteri atas saranan anggota MKN.

Sebaik sahaja MKN mengambil-alih kawalan di “kawasan keselamatan”, pasukan keselamatan termasuk pihak tentera diberi kuasa untuk memburu atau menahan tanpa waran mana-mana individu yang didapati melakukan, atau didakwa melakukan, atau dipercayai melakukan mana-mana kesalahan dibawah undang-undang bertulis dalam kawasan itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...