TERKINI :

Saturday, December 12, 2015

Cheng Hoe yakin Kedah julang Piala Malaysia lagi

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yakin skuad Helang Merah mampu mengulangi kejayaan berganda pada musim ini dengan menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Cheng Hoe berkata selepas pasukannya itu menjuarai Liga Perdana musim ini, keyakinan pemain semakin baik dan matang terutamanya selepas berjaya melepasi saingan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.

Beliau berkata pasukan itu telah bekerja keras dan perlu mengekalkan momentum untuk merampas semula Piala Malaysia yang pernah dimenangi pada 2008.

"Tahniah kepada pasukan. Saya sangat berbangga dengan semangat juang yang mereka tunjukkan sepanjang perlawanan Piala Malaysia ini.

"Saya sering berhubung dengan Ramon Marcote tentang prestasi pasukan. Apa yang saya lihat keyakinan pasukan lebih meningkat, tekanan pemain juga semakin berkurang tidak seperti ketika saingan Liga Perdana," katanya kepada Bernama.

Cheng Hoe menyerahkan tugasnya sementara kepada Marcote kerana perlu mengikuti kursus kejurulatihan lanjutan lesen A di China sejak November lalu.

Katanya beliau akan bersama-sama pasukan serta Marcote di perlawanan final malam nanti.

"Sebagai ketua jurulatih, saya akan bersama pasukan, semua jurulatih dalam pasukan telah bersama-sama memantapkan pasukan sejak saingan Liga Perdana lagi. Sudah pasti semua kena bersama-sama pasukan," katanya.

Sebagai rekod Kedah pernah menundukkan Selangor dengan kemenangan dramatik untuk menjulang Piala Malaysia pada 2008.

- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...