TERKINI :

Sunday, December 13, 2015

Buang sifat malu tak pandai mengaji

ALOR SETAR - Faktor usia didakwa menjadi halangan bagi masyarakat terutamanya golongan warga emas untuk mengakui tidak pandai membaca al-Quran.

Guru agama, Muhammad Shukri Mat Desa berkata, faktor usia emas sebenarnya tidak perlu dijadikan sekatan untuk menambah ilmu.

“Untuk itu, walaupun usia sudah lanjut orang dewasa tidak perlulah malu untuk mengakui dirinya tidak pandai membaca al-Quran, asalkan ada niat di dalam diri  untuk berubah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur memandangkan kini makin ramai sudah sedar, sekali gus tidak keberatan memasuki kelas mengaji meskipun sudah lewat usia,” katanya.

Malah, Pengurus Pusat Pengajian Al-Quran Titian Ilmu, Mohd Saidi Amin Shah berkata,  masyarakat kini dilihat kian celik mengenai kepentingan ilmu, terutamanya al-Quran.

Disebabkan itu, menurutnya, pusat pengajian berkenaan dibuka demi memberi tunjuk ajar dalam al-Quran, hafazan, asas fardu ain dan Bahasa Arab.

"Untuk itu, penubuhan kelas bagi dewasa dan kanak-kanak di pusat pengajian berkenaan dilakukan demi membolehkan masyarakat mahir membaca al-Quran," katanya.

Saidi berkata, pusat pengajian yang dibuka pada awal Januari lalu itu dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat, termasuklah pelajar dewasa.

Malah, katanya, mereka kini memiliki pelajar berusia semuda enam tahun sehinggalah berusia 64 tahun di pusat pengajian beroperasi di Jalan Kuala Kedah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...