TERKINI :

Monday, December 7, 2015

Bolehkah kita percaya pembangkang?

Oleh Mahadzir Ibrahim


Berdepan dengan politik kuasa di peringkat nasional, nyata sekali masih banyak kelemahan dalam gabungan politik pembangkang, dan ia menimbulkan kemusykilan rakyat.Maka penganalisis dan penggemar politik merasakan wujudnya ketidaksediaan pembangkang mengambilalih kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehingga hari ini, kerajaan Umno/BN pada setiap sesi perbahasan di Parlimen mahu pun Dewan Negeri, terus menerus menerima tekanan kuat dari sebelah pembangkang, baik dalam perbahasan bajet mahu pun perbahasan rang undang-undang (RUU) dan sebagainya.

Sungguhpun begitu, hubungan politik antara parti pembangkang ketika ini haru-biru (termasuk baru-baru ini sebahagian wakil rakyat PAS tidak bersama dengan wakil DAP dan PKR menolak bajet BN di Parlimen).

Namun momentum penentangan, iaitu perbahasan dasar di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat pembangkang, tetap ampuh ketika berdepan dengan kerajaan BN di setiap negeri dan di Parlimen.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sahaja, wakil rakyat BN sendiri merasa lelah dengan perdebatan dewan.

Suhu ini tidak akan surut sehinggalah penggal kerajaan BN tamat, malah kita percaya keadaan ini akan lebih hangat dan kritikal lagi menjelang PRU14.

Ini penting kerana, kekuatan pembangkang hari ini bukan lagi bergantung pada hubungan gabungan antara parti, tetapi kekuatan itu hari ini lebih nyata dalam aspek hubungan tugas sebagai wakil rakyat, baik di DUN mahupun Parlimen.

Ekosistem ini berubah kerana momentum keresahan rakyat terhadap isu utama dalam aspek ekonomi dan sosial. Hal kepartian sudah tidak begitu menjadi agendanya.

Jika diukur hebat atau utuh sekali pun hubungan gabungan politik antara parti pembangkang, ia belum tentu dapat menggugah hagemoni kuasa politik BN di Dewan Rakyat, malah ia juga belum tentu dapat mengolah gelombang penentangan rakyat terhadap dasar pemerintahan BN.

Perkara kedua, sekali pun gabungan pembangkang ini retak seribu, kerajaan negeri seperti di Selangor dan Pulau Pinang kekal stabil pada dasarnya, baik dalam urus tadbir dan juga dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan urusan kebajikan sosialnya.

Tidakkah kita merasa satu perkara yang agak unik apabila keadaan politik kepartian meliar dan meribut, tetapi tugas hakiki sebagai wakil rakyat dan kerajaan dapat terus berjalan dengan teratur malah cekap?

Indikasi ini sangat penting apabila kita rujuk kembali visi pakatan pembangkang yang berhasrat membawa satu budaya politik yang baharu menolak kuasa politik BN.

Kita sering menggambarkan menerusi kekuatan gabungan antara parti, barulah ia boleh membawa kejayaan politik menukar kerajaan BN. Saya fikir gambaran itu, hari ini, boleh menipu kita kembali.

Dalam politik baharu seperti mana hasrat pembangkang, kekuatan sebenar yang boleh menumbangkan BN bukan semestinya terletak di situ (parti).

Tidak bermakna parti tidak penting, tetapi dalam senario kebencian rakyat terhadap BN pada masa ini, kekuatan itu sebenarnya banyak bergantung di peringkat pembuat atau merangka dasar ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.

Gabungan berkepentingan rakyat ini mungkin bentuknya belum dapat dizahirkan sebagai satu entiti mudah difahami oleh rakyat biasa, macam "alien". Kerana kita semua berazam membentuk sistem dwiparti iaitu BN dan Pakatan. Maka bentuk lain selain BN atau Pakatan, sukar muncul atau tak dapat difahami.

Imaginasi itu terhenti setakat di sini sahaja, ini kelemahannya.

Dalam merangka dasar, baik di peringkat DUN atau Parlimen, kefahaman dan kerjasama antara wakil rakyat pelbagai parti amat penting untuk mengundi sesuatu dasar atau undang-undang, berbeza dengan identiti parti yang sering memisah dan menjarakkan kerjasama.

Sebagai contoh, Bersih. Kempen ini menjadi massa dan berpengaruh bukan kerana kekuatan politik kepartian, sebaliknya kerana semua pihak telah bersetuju dengan perjuangan Bersih baik di peringkat awam dan wakil rakyat di Parlimen, termasuk sebahagian daripada kerajaan BN.

Oleh itu, Bersih berjaya membawa mesejnya walaupun ada parti politik yang tidak menyokong atau menyertainya.

Contoh kedua, kempen PAS untuk hudud. Ia gagal di peringkat pembuat dasar (Parlimen). Ini kerana dasar tersebut tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat daripada pelbagai parti politik hatta Umno yang kononnya sanggup menerima pembentangan RUU itu.

Jadi nyata sekali, gabungan parti politik bukan lagi menjadi kekuatan utama menjana kemenangan, sebaliknya kekuatan itu terletak pada para pembuat dasar termasuk mereka di kalangan NGO politik dan sosial.

Cuma, bagaimana hal ini dapat dipermudahkan untuk kefahaman dan penerimaan rakyat.

Kepercayaan tidak boleh dipaksa, tetapi boleh dibina. Jadi adakah kita boleh percaya pada pembangkang?

* Mahadzir Ibrahim merupakan pengarah pendidikan politik DAP Johor.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...