TERKINI :

Saturday, December 12, 2015

Ayuhhhh... HIJAU KUNINGKAN SHAH ALAM..!!!

 
 
TUAH

Sejak daripada majlis undian kejohanan lagi, sebenarnya baik pasukan hijau kuning mahupun merah kuning tidak diletakkan sebagai calon pilihan untuk ke perlawanan akhir. Apa tidaknya, dengan Kedah bermain di Liga Premier, satu aras rendah kualitinya di atas kertas berbanding calon-calon kegemaran yang lain manakala Selangor jelas tidak mempamerkan karektor menyakinkan sejak awal saingan Liga Super lagi. Namun inilah yang dikatakan bak kata pepatah, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’.

Pertemuan kedua-dua pasukan ini juga cukup ironi sebenarnya. Selangor benar-benar mahu mencari kejuaraan untuk mencapai ‘Misi 33’ nya dan dalam laluan cukup baik apatah lagi teori kejuaraan setiap 10 tahun sekali dengan menjadi juara pada 1995 dan 2005 menjadi azimat penting buat kem merah kuning. Sementara Kedah pula dalam usaha berada mencapai kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima dalam sejarahnya sejak kali terakhir menjulang piala pada 2008 ketika bertemu Selangor dengan berkesudahan 3-2.

Sukar mencari komen-komen bahawa dua pasukan ini menjadi pilihan juara para peminat bola sepak tempatan selain hanya kepercayaan berterusan para penyokong setia mereka sendiri.


SENSASI

Kemaraan ke perlawanan akhir buat Gergasi Merah dan Lang Merah cukup sensasi! Kedah sejak awal saingan peringkat kumpulan lagi sudah mula mempamerkan taringnya walaupun berhadapan dengan lawan-lawan berstatus gergasi dan pilihan. Sementara Selangor walaupun kalah besar pada perlawanan pertama bertemu Kelantan, mereka bangkit mencipta kejutan demi kejutan sekaligus kini bergelar ‘finalist’ kejohanan tertua di benua Asia ini.

Kejayaan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menyingkirkan skuad Terengganu yang mempunyai skuad lebih mantap selain kejayaan penting menumbangkan Felda United di separuh akhir cukup membanggakan. Apa tidaknya Felda jelas sebuah pasukan yang liat untuk ditumbangkan dan dengan rekod meleburkan kekebalan JDT FC di Larkin amat cemerlang! Ramai pemerhati bola sepak meletakkan Felda United FC sebagai pilihan majoriti namun keghairahan hijau kuning nyata membatasi segala-galanya kali ini.

Bagi skuad Mehmet Durokovic pula, mereka jelas bukanlah di prestasi terbaik tetapi tuah jelas bersama mereka kali ini. Tuah ini jelas kelihatan apabila membenam hajat Tok Gajah mencipta hatrik 2013-2015 dengan kejayaan 2-0 di Stadium Shah Alam pasti menjadi azimat penting untuk melangkah ke perlawanan akhir dengan motivasi cukup-cukup tinggi.

SEIMBANG

Andai rekod jaringan menjadi ukuran, jelas skuad hijau kuning berada dalam kelas yang tersendiri menjelang perlawanan terakhir Liga Malaysia 2015. Apa tidaknya, dengan rekod 23 gol daripada 10 perlawanan pasti digeruni mana-mana lawan pada kejohanan kali ini. Tidak terlalu bergantung seorang dua pemain sahaja untuk mencetak gol, satu kelebihan yang besar buat Kedah. Jika diambil kira jumlah jaringan pasukan Selangor pula, 11 gol daripada 10 perlawanan, jurang yang amat besar tetapi ini adalah perlawanan akhir. 

Berbicara kekebalan pula, kedua-dua pasukan meletakkan kapten masing-masing di posisi pertahanan tengah dengan Khairul Helmi Johari untuk hijau kuning dan Shahrom Kalam untuk merah kuning. Selangor dilihat punya sedikit kelebihan dengan rekod hanya melepaskan 9 gol berbanding Kedah yang bolos sebanyak 14 kali. Menerusi stastistik ini, Kedah lebih garang menyerang manakala Selangor lebih kental bertahan. Apapun rekod lalu hanyalah sebagai pengajaran, pemangkin semangat dan peringatan sahaja. Aksi 90 minit atau lebih yang akan menentukan siapa yang akan gemilang siapa pula yang akan kecundang.

KELAJUAN JADI TARUHAN

Pertemuan epik kali ini juga bakal menyaksikan punca serangan bermula daripada pemain sayap. Selangor bakal mempertaruhkan duo kidalnya, Ahmad Hazwan Bakri dan Andik Virmansyah untuk bertembung dengan Rizal Ghazali serta Shafizan Hashim. Lang Merah pula mengembangkan sayapnya menerusi gandingan Syazwan Zainon dan ‘one man one club’, Baddrol Bakhtiar untuk memecahkan kubu kebal Gergasi Merah yang dikemudi Shahrol Kalam. Selangor pasti akan lebih bertahan dan mengamalkan serangan balas sementara Kedah seperti biasa akan mendominasi bahagian tengah agar peluang menjaringkan gol lebih tinggi. 

REDHA

Bukan mahu mendoakan(semoga tidak berlaku) cumanya jika pasukan bermain baik tetapi tumbang pada hari Sabtu ini, moga-moga tiada lagi komen dan kritikan melampau yang diberikan kepada mereka. Tidak adil rasanya memandangkan kita semua sedia maklum kekuatan sebenar pasukan tetapi jika itu sudah takdir tiada rezeki untuk menjulang kejuaraan yang diidam, mengapa kita hendak melawan ketentuan daripadaNya?

Benar kritikan perlu diberikan walaupun disaat prestasi dalam momentum terbaik agar mereka tidak mudah leka yang mampu menggoyahkan keseluruhan pasukan cumanya perlulah berpada-pada kritikan tersebut dimana tidak menyentuh isu-isu diluar aspek bola sepak itu sendiri. Harus diingat, fokus utama kalender bola sepak hijau kuning pada tahun 2015 adalah untuk kembali semula ke saingan Liga Super 2016 dan ianya sudah pun tecapai termaksud menjulang piala!

Bermain di Piala Malaysia adalah sebagai satu ‘test market’ untuk menguji kekuatan pasukan dengan pasukan-pasukan daripada divisyen 1 agar perancangan musim hadapan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin berdasarkan kekuatan dan kelemahan musim ini. Terbukti kita mampu dan mara ke perlawanan akhir adalah satu bonus.

DOA

Seperti biasa juga, saya akan terus berusaha mengingatkan kita semua agar sentiasa mendoakan kejayaan hijau kuning kerana sebagai penyokong yang beragama Islam, ini antara usaha kita daripada aspek kerohanian untuk membantu pasukan memandangkan doa adalah senjata terbaik selain melaungkan sorakan semangat yang lebih bersifat fizikal.

HIJAU KUNINGKAN SHAH ALAM

Rasanya tidak perlu dikempen lagi soal ini. Semua sudah sedia maklum tugas masing-masing untuk padukan suara demi Kedah yang tercinta. Mari rai detik ini bersama di sana. Semoga selamat hendakNya perjalanan pergi dan pulang. Jumpa di sana. Pulun Kedah Pulun!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...