TERKINI :

Wednesday, December 23, 2015

Apa beza haramnya VAPE dengan ROKOK dimata orang agama & kerajaan memerintah

'Jangan diskriminasi pengharaman vape dengan rokok' - Dr Najmil

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta tidak mendiskriminasi pengharaman penggunaan dan vape dengan rokok sehingga boleh mencetus pelbagai tanda tanya daripada rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, promosi melampau pengharaman vape juga harus selari dengan pengharaman rokok yang sudah lama diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

"Ada banyak kemungkinan, salah satu mungkin kerana cukai kerana penurunan jualan rokok. Jadi di sini nampak promosi untuk pengharaman vape menjadi berlebih-lebih pula.

"Perniagaan vape dimonopoli oleh orang Melayu. Habislah perniagaan mereka ini. Untuk berhenti merokok memang bagus kalau beralih ke vape dahulu dan ada beberapa pakar sudah mengesahkan kuantiti bahan kimia yang ada di dalam vape jauh lebih rendah daripada rokok.

"Isunya mudah, buat kaedah sama, promosi pengharaman sama untuk rokok seperti yang dibuat untuk vape. Kalau mahu buat, buat betul-betul. Jangan bezakan pengharaman vape dengan rokok," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Dr Najmil mengulas keputusan pengharaman rokok elektronik dan vape oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibuat pada Selasa.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Sementara keputusan pengharaman rokok dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 Mac 1995.

Perbandingan

Dalam pada itu kata Dr Najmil, beberapa pakar juga sudah memberikan hujah masing-masing mengenai perbandingan bahaya vape dengan rokok.

"Saya ada terbaca kenyataan Pengarah Unit Kajian Kebergantungan Tembakau, Barts And The London School Of Medicine And Dentistry, Prof Peter Hajek yang menilai kajian Farsalinos yang mengesahkan vaping adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok.
"Selain itu Pengetua Akademi Farmasi Malaysia, Prof. Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed juga ada menjelaskan, secara amnya bilangan dan kuantiti bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam wap rokok elektronik adalah jauh lebih rendah berbanding asap rokok yang mengandungi sekurang-kurangnya 4,000 bahan kimia berbahaya termasuk penyebab kanser," jelasnya.

Sebelum ini, Dr Najmil menggesa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S Subramaniam menanggung semua kerugian yang dialami oleh pengusaha dan perniaga vape yang terlibat dengan operasi yang dilakukan kementeriannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Isnin turut meminta Kerajaan Persekutuan membuat penegasan atau keputusan rasmi berkaitan isu rokok elektronik atau vape bagi diselaraskan dari segi penggunaannya di seluruh negara.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...