TERKINI :

Thursday, December 10, 2015

Antara teguran KJ dan 'pertanyaan derhaka' Muhyiddin..???

GESAAN Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Kerajaan untuk menghentikan segala kenaikan kos di negara ini sebenarnya boleh dikatakan satu paksaan untuk menangani kos sara hidup yang sudah lama disuarakan oleh akar umbi.

Ia bukan sahaja satu desakan namun permintaan terutama melindungi nasib golongan M40 iaitu mereka berpendapatan antara RM3,860 ringgit hingga RM8,320 ringgit dengan semakan semula had pelepasan cukai yang ditekankan sejak pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini.

Harapan itu bukan baharu sebenarnya, ia sudah lama dipinta rakyat kerana kenaikan kos sara hidup sudah menjadi satu bebanan yang harus ditelan selain banyak juga cadangan daripada kepimpinan atasan Kerajaan yang memberi cadangan untuk mengurangkan kos sara hidup yang dilihat kurang bernas sekali gus hanya dipandang sepi oleh masyarakat sendiri.

Teguran terbuka Khairy sendiri terhadap Kerajaan semasa mesyuarat perasmian sayap Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pagi Rabu merupakan harapan yang dimahukan rakyat secara keseluruhannya.

Khairy sudah membawa suara masyarakat walaupun dia hanya mewakili golongan muda di bawah 40 tahun yang sebenarnya mewakili lebih separuh majoriti rakyat negara ini di dalam sektor perkerjaan.

Desakan Khairy ini juga bukan baharu, namun ia tidak akan basi selagi Kerajaan belum memulakan langkah untuk menghentikan kenaikan harga kos barangan di dalam pasaran.

Katalah apa sahaja langkah populis yang mahu diumumkan Kerajaan, ia tidak akan menjadi satu langkah yang diterima rakyat seandainya kebocoran poket semakin lama semakin besar terasa dan nilai wang ringgit seolah tidak lagi dapat dimanfaatkan dengan nilai kehidupan serta tangga gaji yang masih kaku sekian lama.

Desakan sebelum ini daripada Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang meminta Kerajaan untuk mempertimbangkan semula keperluan berkenaan untuk menaikkan caj tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang benar-benar menekan kos sara hidup rakyat juga ada kebenarannya.

Amaran Dr Najmil ditujukan kepada syarikat Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang meminta pihak berkenaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum cadangan kenaikan itu diutarakan kepada Kerajaan sendiri tidak harus dipandang enteng.

Ia turut disokong Exco Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah yang mahu kadar tambang perkhidmatan awam turut dipertimbangkan.

Katanya, selama ini sudah terlalu ramai rakyat dari akar umbi yang mengadu kepadanya terhadap isu kenaikan harga barang dan meminta Kerajaan membela mereka demi memastikan kelangsungan hidup selain tidak terbeban dengan pelbagai kos sara hidup lain termasuk pengangkutan.

Itu sebagai beberapa contoh yang ada. Lebih menakutkan, ada juga yang menggertak mahu berpaling dari memberikan undi kepada Kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang seandainya keadaan ini berterusan dan kenaikan kos sara hidup menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 36 bulan ini.

Namun selepas Khairy bersilat di atas pentas mengenai desakannya mengenai isu harga barang, masih ada juga yang bertanya, apakah bezanya teguran Khairy itu dengan pertanyaan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini terhadap isu-isu semasa yang memerlukan jawapan demi rakyat.

Beberapa orang yang ditemui bertanya, apa beza tindak tanduk Khairy dengan Muhyiddin sendiri.

Bagaimanapun jelas penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, cerita desakan Khairy dan Muhyiddin sendiri mempunyai perbezaannya yang tersendiri.

“Ada perbezaan Ketua Pemuda UMNO yang boleh menegur Kerajaan dan memberikan pendapat untuk mengatasi masalah.

“Ia perkara biasa yang dilakukan Ketua Pemuda sejak dahulu sehingga sekarang. “Muhyiddin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan namun Khairy ini menggunakan cara betul dalam memberi teguran, nampak beza di antara dua ini,” katanya.

Dr Ahmad Atory juga memberitahu, sebarang kritikan Khairy akan dijawab Najib semasa ucapan penangguhan dan Muhyiddin sendiri sebenarnya sudah memasuki fasa derhaka kepada parti dalam tindak tanduknya akhir-akhir ini.

“Muhyiddin sendiri saya rasa faham dengan konsep derhaka yang dilakukannya kini. Ini UMNO, sebuah parti Melayu tradisional yang mengamalkan politik tradisional. Muhyiddin saya kira kini derhaka sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim satu masa dahulu.

“Soal betul atau tidak betul itu soal lain, ia parti tradisional yang mengamalkan unsur politik Melayu. Di dalam UMNO, ketua perlu dihormati, ditaati dan beradab. Jadi teguran Khairy bukan derhaka seperti teguran Muhyiddin,” tegasnya.

Debaran kisah derhaka Muhyiddin yang disebut Dr Atory ini sebenarnya menanti kata putusnya apabila mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas akan diadakan pada malam Rabu sekali gus menentukan masa depan politik tokoh dari Johor ini.

Nasib bekas timbalan perdana menteri ini juga disifatkan akan dirumuskan ahli MT UMNO sekali gus menjawab persoalan rakyat mengenai nasib parti itu sendiri.

Suka atau tidak, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu, jika Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan daripada parti UMNO, ia bukanlah disebabkan isu 1MDB mahupun RM2.6 bilion.

Sebaliknya, tindakan itu kerana ketidaktanggungjawaban dua pemimpin tersebut yang tidak patuh kepada keputusan MT.

Jika Muhyiddin dan Shafie sendiri tidak mendengar arahan MT untuk tidak membincangkan isu hangat yang diperkatakan dua tokoh UMNO itu di luar dan tidak menggunakan MT sebagai landasan untuk bertanyakan soalan, jadi apa lagi perkataan yang boleh disimpulkan kepada mereka berdua ini selain terpaksa menerima hukuman kerana sifat derhaka kepada parti.

Dan derhaka itu jelas satu pantang paling besar bagi parti Melayu paling lama di negara ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...