TERKINI :

Thursday, December 17, 2015

Angkat pemimpin korup, ‘kemiskinan moral’ Melayu di tahap kronik?

PETALING JAYA: Adakah kemiskinan moral sebahagian orang Melayu sudah mencapai tahap kronik sehingga sanggup menjunjung ‘tinggi melangit’ pemimpin yang terpalit pelbagai skandal?

Persoalan tersebut dibangkitkan penulis bernama Dr Awang Mat Puteh di Sinar Harian dalam satu rencana bertajuk ‘Kita berdiri di pihak yang mana?’, baru-baru ini.

Katanya, orang Melayu selama ini hanya berusaha menghapuskan kemiskinan fizikal sehingga mengabaikan kemiskinan jiwa dan nilai.

“Kemiskinan tidak boleh dilihat hanya dari satu dimensi…Lebih penting adalah kemiskinan jiwa dan cita-cita. Jika ini dijadikan kayu ukur, kita telah gagal,” katanya lagi, memetik buku ‘The Poverty of the Malays’ karangan Pendeta Zaaba kira-kira sembilan dekad yang lalu.

Menurutnya, ‘kemiskinan jiwa’ masih menebal dalam masyarakat Melayu, termasuk di kalangan golongan kaya dan terpelajar.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah tanah air, sebelum atau pun selepas kemerdekaan, di mana pemimpin yang dicemari pelbagai skandal dan jelik akhlak masih dijunjung tinggi melangit.

“Bukan hanya pemimpin sebegini masih disanjung dan dipuji, malah mereka yang mengkritik akan dicerca, dihukum malah diheret ke mahkamah,” katanya.

Melihat perkara ini serta reaksi sesetengah orang Melayu terhadap isu yang melanda negara, katanya lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan kemiskinan moral mereka sudah mencapai tahap kronik.

Dr Awang kemudian membangkitkan tokoh pejuang dahulu seperti Datuk Maharajalela, Tok Janggut dan Mat Kilau yang berani menentang penindasan di zaman mereka.

“Adakah pemberontakan terhadap kezaliman bukannya budaya Melayu? Tidak sama sekali.

“Tetapi mengapa sekarang ini, walaupun ramai yang berpendidikan tinggi, mereka masih miskin nilai? Mengapa ramai yang diam membisu apabila pemerintah dengan rakus menggadai harta negara dan menghukum mereka yang tidak bersalah?” soalnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...