TERKINI :

Saturday, December 26, 2015

AMANAH Mahu jadi alternatif, bukan pecah undi

KOTA BHARU - Kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan tidak boleh didakwa sekadar untuk memecah undi, namun hakikatnya Amanah tampil sebagai alternatif kepada rakyat Kelantan untuk menawarkan satu pemerintahan yang lebih adil.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Pas hendaklah menerima kehadiran Amanah sebagai sebuah parti yang sah dan berdaftar dalam persaingan politik demokrasi di Malaysia.

“Kerajaan Kelantan juga tidak akan tergugat walaupun Pas kalah di Kelantan, bahkan jika Amanah diberi peluang untuk memerintah Kelantan, insya-ALLAH akan diurus dengan lebih baik daripada apa yang telah dibuat oleh Pas sebelumnya.

“Mereka (rakyat) telah ada pengalaman  berada di bawah pemerintahan Umno dan juga Pas, jadi bukan mustahil mereka akan berubah sikap untuk berada di bawah pentadbiran parti Amanah dalam PRU 14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa keputusan Amanah bertanding di negeri ini akan memberi kesan termasuk boleh menyebabkan Kerajaan Pas Kelantan tergugat.

Che Ibrahim berkata,  Amanah telah berkali-kali mengajak Pas bersama mempertahankan Kerajaan Kelantan daripada dirampas BN pada pilihan raya akan datang, namun sehingga kini Pas masih dengan sikapnya untuk tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain terutama Amanah yang didakwa sebagai pengkhianat.

Beliau berkata, Amanah tidak ada pilihan lain kecuali tampil bersama Pakatan Harapan untuk memberi harapan baharu kepada rakyat Kelantan yang sudah lama menolak untuk berada di bawah pemerintahan BN.

“Amanah sering terbuka untuk mengadakan satu persefahaman politik dengan Pas demi untuk mempertahankan kerajaan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...