TERKINI :

Sunday, December 13, 2015

Alor Setar - Sebuah pasaraya didapati Arak dijual bersama minuman halal

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) menyelar tindakan sebuah pasar raya di pusat bandar yang menjual dan mempamerkan arak dalam satu rak yang sama dengan minuman halal.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, tindakan itu jelas menyentuh sensitiviti umat Islam selain mengelirukan pengguna, khususnya kanak-kanak.

“Kita terima aduan daripada orang ramai, pasar raya ini menjual arak dengan meletakkannya bersama minuman halal yang lain.

“Apabila kita buat pemantauan, didapati aduan itu adalah benar dan terdapat minuman tidak halal dijual sebaris dengan minuman halal,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di sebuah pasaraya dekat pusat bandar, di sini, semalam.

Turut hadir pada tinjauan itu ialah Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff.

Menurutnya, tindakan yang tidak menghormati sensitiviti itu dipercayai sejak pasar raya itu memulakan operasinya kira-kira lebih tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, kita menerima banyak aduan daripada pengunjung mengatakan anak mereka telah tersilap ambil arak dengan memasukkannya ke dalam troli berikutan ia diletakkan sebaris dengan minuman halal.

“Walaupun mereka meletakkan label tidak halal di situ, tetapi ia masih diletakkan bersama minuman halal yang lain dan sudah tentu mengelirukan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan pasar raya berkenaan harus memastikan masalah sama tidak berulang dengan memindahkan minuman tidak halal itu ke satu sudut berasingan.

“Kita akan panjangkan perkara ini kepada jabatan berkaitan untuk menasihati pihak pengurusan pasar raya tersebut.

“Tetapi sekiranya nasihat itu tidak dipatuhi, mungkin perlu diambil tindakan tegas terhadap pasar raya berkenaan,” katanya.

Yusoff turut memberi contoh bahawa kedai minuman halal juga tidak boleh menjualnya dalam satu masa dengan minuman tidak halal, sebaliknya perlu dijual secara berasingan atau di tempat lain.

“Kita tahu majoriti pengunjung di pasar raya itu adalah orang Islam dan mereka seharusnya menjaga sensitiviti itu, "katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...