TERKINI :

Wednesday, December 23, 2015

Alor Setar : Risiko jangkitan kencing tikus bukan sahaja di kawasan rekreasi & pusat peranginan

Risiko jangkitan kencing tikus

ALOR SETAR - Tanggapan penyakit Leptospirosis atau kencing tikus hanya berlaku di kawasan rekreasi, pusat peranginan dan air terjun perlu ditangkis, kerana ia boleh dijangkiti di mana-mana sahaja, terutama kawasan persekitaran yang kotor dan mengundang haiwan liar.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, jangkitan Leptospirosis bukan semata-mata wujud di kawasan rekreasi dan pusat peranginan, sebaliknya kawasan bandar seperti premis makanan, longkang, gudang penyimpanan makanan tidak terkecuali.

“Kawasan persekitaran yang kotor dan dipenuhi sisa makanan mengundang kehadiran haiwan liar seperti tikus, monyet, anjing, lipas, nyamuk untuk membuat sarang dan membiak.

"Selagi tahap kebersihan tidak diatasi, selagi itu risiko dijangkiti tetap ada,” katanya.

Menurutnya, jangkitan Leptospirosis sering dikaitkan dengan aspek persekitaran yang kotor di pusat rekreasi, peranginan, air terjun kerana kehadiran sisa makanan atau sikap pengunjung yang tidak ambil berat aspek kebersihan.

“Kebersihan persekitaran melibatkan tanggungjawab banyak agensi dan perlu ditangani bersama termasuk orang ramai dengan memainkan peranan masing-masing.

"Sukar untuk kita memantau 24 jam, berikutan pengurusan tidak sama, sebahagian bawah perhilitan, perhutanan atau pejabat daerah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kawasan rekreasi ditutup daripada dikunjungi, ia tidak akan menyelesaikan masalah berikutan kebersihan di kawasan terbuka sukar dikawal selain kehadiran haiwan liar.

“Setakat ini tiada kawasan rekreasi, peranginan atau air terjun ditutup. Namun kita tetap tidak boleh isytihar kawasan terbabit selamat untuk mandi manda atau dikunjungi kerana risiko tetap ada, selagi tahap kebersihan tidak dipertingkat,” katanya.

Dr Norhizan turut mengingatkan orang ramai yang mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, muntah-muntah, sakit otot dan jaundis (penyakit kuning) selepas berkunjung ke pusat rekreasi air perlu mendapatkan rawatan segera dan memaklumkan kunjungan tersebut kepada doktor.

Pada masa sama, beliau mencadangkan diwujudkan One Stop Centre menggunakan teknologi maklumat (IT) untuk salurkan maklumat berkaitan persekitaran yang kotor.

“Sebagai contoh, wujudkan kumpulan WhatsApp dianggotai agensi berkaitan untuk orang awam laporkan segera maklumat seperti longkang tersumbat, kedai makan kotor, longgokan sampah haram. Ini membolehkan aduan rakyat diterima dengan pantas dan masalah boleh diatasi segera,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...