TERKINI :

Monday, December 14, 2015

Adun Kubang Rotan - Projek misteri jejas tanaman padi

ALOR SETAR – Kemunculan sebuah projek misteri di Kampung Batu Enam dekat Kuala Kedah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan kemusnahan tanaman padi di kawasan itu.

Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, projek tanpa sebarang papan tanda itu dipercayai dilakukan secara tiba-tiba tanpa memaklumkan kepada penduduk sekitar terlebih dahulu.

“Siasatan awal mendapati, wujud satu projek untuk dibangunkan di kawasan tepi laut tersebut. Soalnya, mengapa ia dibuat sebegitu rahsia sehingga tiada langsung sebarang pemberitahuan mengenainya?

“Pemaju projek tersebut telah melakukan kerja membuat jalan lintasan di saliran air Mada sehingga menyebabkan aliran air dari sawah terhalang,” katanya kelmarin.

Katanya, kejadian itu menyebabkan benih yang ditabur petani menjadi rosak apabila sawah yang digenangi air tidak dapat dikeringkan selepas terhalang oleh projek tersebut.

“Kebanyakan petani telah berusaha untuk menabur benih sekurangnya tiga kali, tapi semuanya gagal. Mereka terpaksa tanggung kerugian yang banyak untuk benih dan tenaga kerja.

“Mada sendiri ada jadual penanaman yang mesti dipatuhi petani untuk mengelak pelbagai masalah timbul. Tetapi kali ini petani tidak boleh lagi teruskan aktiviti penanaman dan terpaksa tunggu musim berikutnya,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pihak Mada biasanya sangat tegas dan teliti bagi setiap pembangunan tanah yang melibatkan kawasannya dan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

“Aneh pula bagi projek ini apabila Mada seolah-olah tidak tahu menahu dan tidak berusaha untuk ambil peduli sekalipun mangsa adalah para petani di kawasan Mada.

“Sekarang yang jadi mangsa kerakusan projek ialah para petani yang tidak akan mendapat manfaat apa-apa dari projek tersebut,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah itu turut mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung projek berkenaan.

“Kawasan terbabit terletak di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), namun saya difahamkan tiada kebenaran merancang yang dikeluarkan oleh MBAS, malah projek itu juga belum mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Berikutan itu, beberapa laporan polis telah dibuat petani yang terlibat untuk memudahkan mereka membuat tuntutan ganti rugi kepada pihak berkenaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...