TERKINI :

Tuesday, November 24, 2015

Zuhdi - Pakatan Harapan diramal 'berkubur' sebelum PRU14

Mohd Zuhdi Marzuki

SHAH ALAM - Jangka hayat Pakatan Harapan dijangka hanya mampu bertahan menjelang PRU14 susulan parti komponennya masih gagal menguruskan konflik dalaman secara berkesan.

Pusat Penyelidikan Pas (PPP) berkata, Pakatan Harapan juga dijangka tidak dapat bertahan lebih lama berbanding Pakatan Rakyat.

Pengarahnya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya tidak menolak pakatan pembangkang itu akan berakhir lebih awal sebelum PRU14.

"Kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU 14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul.

"Sehingga hari ini, Pakatan Harapan masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zuhdi juga berkata, keadaan semakin buruk apabila DAP didakwa lebih cenderung untuk menyokong perjanjian TPP.

"PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan.

"Amanah pula hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat," jelasnya.

Mohd Zuhdi berkata lagi, kegagalan tiga parti pembangkang untuk menentukan pendirian mereka dalam isu tersebut mendedahkan kerapuhan Pakatan Harapan.

"Berbanding Pas secara konsisten membantah keras keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan perjanjian TPP, apatah lagi menyertainya kelak.

"Pas telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGO dan NGI dalam Kongres Rakyat menentang perjanjian TPP," ujarnya.

Dalam pada itu, PPP turut mengunjurkan bahawa Pakatan Harapan tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh PR dalam PRU 13.

"Ini disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran.

"Mereka juga dijangka tidak dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan tiada tokoh-tokoh besar kaum India di dalam Pakatan Harapan hari ini," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...