TERKINI :

Friday, November 27, 2015

Wujudkah sindrom bisu dalam Umno?

Oleh Mohsin Abdullah

http://media.themalaymailonline.com/images/sized/ez/najib_razak_umno_0512s_600_368_100.JPG
Adakah benar perwakilan atau lebih tepat lagi mereka yang dipilih untuk perbahasan usul pada perhimpunan agung Umno Disember ini tidak boleh menyentuh soal 1MDB mahu pun “derma politik” RM2.6 billion?

Seperti yang didakwa Dr Mahathir Mohamad dalam blognya?Seperti yang dijangka, golongan “sayang” presiden Umno tidak gemar apabila diajukan soalan itu.

Namun ada sumber rapat dengan parti cuba memberi jawapan sebaik mungkin.

Bunyinya begini: “Briefing dah dibuat awal lagi. Semua ketua bahagian tahu apa pantang larangnya. The do’s and don’ts. Dan mereka pula beri taklimat kepada ahli perwakilan termasuk isu Muhyiddin and Shafei"

Umum tahu siapa Muhyiddin dan Shafei yang dimaksudkan dan “isu” mereka. Tidak perlu keterangan lanjut.

“Jawapan” seperti itu bagi saya “open to interpretation”.

Apa pun golongan pro Datuk Seri Najib Razak berpendapat, isu 1MDB dan “derma politik” RM2.6 dalam akaun peribadi presiden parti “sengaja dibesarkan seteru Najib termasuk Mahathir dan Muhyiddin.”

Lantas bagi mereka, ia tidak perlu dibincangkan dalam perhimpun agung Umno ini kerana “semunya sudah dijawab presiden, pemimpin kanan parti malah CEO 1MDB Arul Kandasamy”.

Di samping itu kata mereka, parti sudah “banyak kali” memberi penjelasan.

Kerana itu mereka tidak nampak “mengapa isu itu perlu dipanjangkan”.

Hujah demikian senada dengan pandangan naib presiden parti Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan agung Umno .

Beliau diberitakan membuat penafian ada sekatan ke atas perwakilan bercakap mengenai 1MDB dan RM2.6 billion.

Namun penafian beliau “kurang jelas”.

Hishamuddin dipetik sebagai berkata: “Isu ini sudah dibahaskan di Parlimen, dibincang di blog dan media sosial.Perbahasan perhimpunan agung Umno berdasarkan usul yang dikemukakan bahagian dan cawangan. Jika hendak bahas isu lain ada banyak lagi saluran. Jadi apa sekatannya? Adakah anda menyatakan soal nasib dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini tidak penting”.

Pastinya, soal “masa depan Melayu dan Islam” akan mendominasi perbahasan diakui penting.

Bagaimanapun persoalan sama ada perwakilan dilarang bangkitkan isu 1MDB dan “derma politik” semasa perbahasan pada perhimpunan bulan depan tidak dijawab secara jelas.

Teringat pula kepada Tun Musa Hitam semasa beliau menjadi timbalan presiden Umno dulu. Musa bercakap mengenai kebimbangannya terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai “sindrom bisu” dalam Umno.

Yang beliau maksudkan ialah keadaan di mana ahli Umno tidak mahu atau tidak boleh menegur kepimpinan.

Apatah lagi mengkritik.

Takut menimbulkan kemarahan pemimpin dan sekali gus dikenakan tindakan, ahli parti membisu seribu bahasa walapun tahu akan segala kepincangan dan kesalahan yang berlaku.

Sudah 28 tahun berlalu sejak beliau bercakap mengenai perkara itu.

Adakah “sindrom bisu” masih atau sedang melanda Umno masa ini?

Hanya orang Umno boleh memberi jawapan.

Bagi kita orang luar, yang kita tahu ialah Ketua Wanita Gopeng Datuk Hamidah Osman dipecat kerana mengkritik kepimpinan Najib.

Begitu juga Anina Saadudin dari Langkawi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak dibenar merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno walaupun masih memegang jawatan timbalan presiden parti, sehingga artikel ini ditulis.

Walaupun mengikut tradisi Umno timbalan presiden merasmikan persidangan sayap parti.

Adakah kepimpinan Umno hanya mahu dengar apa yang mereka mahu dengar?

Waullahualam.

Tapi yang kita tahu ialah kata Najib “perhimpuan kali ini kita hendak suasana, baik, suasana positif”.

Itu pun “open to interpretation”.
- themalaysianinsider.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...