TERKINI :

Monday, November 9, 2015

'Waspada cubaan eksploitasi kaum, agama demi laba peribadi'


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan tidak membenarkan sebarang cubaan mengeksploitasi sentimen kaum dan agama menular dalam masyarakat, demi meraih laba peribadi yang sempit.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menegur rakyat dan pemimpin supaya mengamalkan kehidupan berasaskan prinsip jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam kehidupan untuk memastikan negara kekal maju, aman dan makmur.

"Sama ada kita adalah rakyat atau pemimpin, masing-masing memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan negara kita sentiasa berada pada landasan yang betul dan mengorak langkah ke hadapan untuk menempa kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang berkekalan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut oleh masyarakat penganut Hindu esok.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno itu berkata kehidupan dalam negara berbilang kaum memerlukan toleransi antara kaum yang sangat tinggi.

"Kita telah memperlihatkan kepada dunia bahawa fomula kepelbagaian yang diamalkan di Malaysia mampu mengangkat kita untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju walaupun terdiri daripada rakyat yang berbeza kaum dan agama," katanya.

Beliau, yang disingkirkan daripada Kabinet akhir Jun lalu, berkata kebiasaannya semua perayaan termasuk Deepavali disambut dengan meriahnya oleh rakyat bagi memperingati kejayaan memerangi kejahatan.

"Pesta Cahaya Deepavali menandakan kejayaan cahaya mengatasi kegelapan. Ia juga adalah sebagai peringatan untuk sentiasa berbuat baik dan menjauhi segala kejahatan.

"Saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...