TERKINI :

Tuesday, November 17, 2015

Untuk apa Jamil Khir tuntut ganti rugi RM10 juta?

jamir-khir,-akmal-yusof
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta memberi penjelasan mengapa beliau mengemukakan tuntutan sehingga RM10 juta berhubung pendedahan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk program di Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir berkata, tuntutan ganti rugi RM10 juta di samping permohonan maaf yang diminta Jamil Khir itu amat mencurigakan.

“Saya pasti rakyat juga tertanya-tanya mengapa beliau (Jamil) bukan sahaja menuntut kemaafan saya dalam tempoh dua hari… tetapi juga bayaran ganti rugi sebanyak RM10 juta sedangkan saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pemberi maklumat bagi mencegah kemungkaran,” katanya dalam satu sidang media di pejabat NOW.

Akmal memberitahu dia telah menerima Surat Tuntutan daripada peguam Jamil Khir namun dia tidak akan memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Katanya, dia tidak bersalah dan pendedahan yang dibuat itu hanyalah demi menyelamatkan dana YaPEIM.

“Saya dedahkan skandal ini demi menyelamatkan dana YaPEIM kerana ia melibatkan wang penyumbang dan penerima amal jariah termasuk lebih setengah juta pencarum bulanan dan juga mereka yang layak menerima bantuan YaPEIM seperti anak yatim dan miskin.

“Saya tegaskan bahawa tindakan saman ini hanyalah untuk mengalih perhatian kepada beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan,” jelasnya.

Katanya, Jamil Khir sepatutnya membuat penjelasan terbuka dengan bukti-bukti kukuh sekiranya pendedahan skandal YaPEIM itu fitnah.

“Sekiranya Jamil Khir meneruskan rancangan untuk menyaman, beliau bukan sahaja berdepan dengan saya, tetapi juga dengan 588,930 orang pencarum YaPEIM,” katanya.

Jamil Khir memberi Akmal tempoh sehingga Rabu ini untuk mengemukakan permohonan maaf.

Surat tuntutan itu telah dihantar beliau melalui peguam Adnan Seman @ Abdullah daripada firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associaes pada 16 November lalu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...